Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang bermula selepas perisytiharan calon oleh Pegawai Pengurus pada 2 November 2019 sehingga jam 11.59 malam, 15 November 2019.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengingatkan bahawa sebarang aktiviti kempen seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan ataupun wang secara rasuah yang boleh mempengaruhi pengundi untuk memberikan atau tidak memberikan undi merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta yang sama, khususnya: –

a)Tindakan atau pernyataan yang bertujuan ataupun cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati ataupun permusuhan antara kaum;

b)Tindakan atau pernyataan yang mengancam hendak menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi;

c)Tindakan atau pernyataan yang mengancam hendak mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan ataupun kerohanian ke atas pengundi; dan

d)Tindakan atau pernyataan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai dia atau mana-mana orang akan menjadi seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun turut memperingatkan calon ataupun parti yang diwakili calon agar tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun menyalahgunakan kuasa kerajaan untuk meraih undi.

Calon-calon dan juga pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin keharmonian masyarakat.

Segala arahan pihak berkuasa, terutamanya dari SPR, PDRM, SPRM dan PBT hendaklah sentiasa dipatuhi, katanya.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat ataupun apa-apa keterangan mengenai apa-apa pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Apa-apa perbuatan yang melibatkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM manakala bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.

Tambah beliau, semua pihak diingatkan bahawa sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi.

Ini termasuk melalui saluran media sosial. Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi.

Katanya, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. – MalaysiaGazette