Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Program Ceramah Umum Barisan Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan PDM Pekan Nenas Tengah, Johor. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Tanggapan sesetengah pihak bahawa Melayu di dalam Barisan Nasional (BN) akan berpecah ekoran pemilihan calon MCA untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebenarnya meleset kerana perkara itu tidak pernah berlaku.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, BN mempunhyai strategi untuk memenangi PRK Tanjung Piai yang dijanhgka marginal menyebabkan pemilihan calon dibuat dengan berhati-hati.

“Kita mesti dapat sokongan undi semua kaum. Sebab UMNO berada dalam keadaan yang kompleks dan mencabar. MCA mewakili BN untuk orang Melayu juga.

“Kena ingat musuh adalah Pakatan Harapan (PH), bukan MCA,” katanya ketika menyampaikan ceramah di pusat daerah mengundi (PDM) Pekan Nanas Tengah, di sini malam tadi.

Mohamed Khaled berkata, BN meletakkan calon MCA pada PRK tersebut berasaskan dua perkara iaitu BN berhadapan dengan parti kerajaan yang mempunyai pelbagai jentera untuk menggagalkan usaha parti.

Justeru katanya, BN perlu memastikan mendapat sokongan semua kaum kerana menyedari sikap masyarakat Melayu yang kebiasaannya akan menyokong parti kerajaan.

Satu lagi faktor pemilihan MCA dibuat adalah disebabkan BN memikirkan mesti ada kekuatan melawan PH untuk berdepan Pilihan Raya Umum yang akan datang, ujarnya.

“Kita tahu strategi betul untuk mendapatkan sokongan ramai, berasaskan dua hakikat itu, kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Kukup dan Pekan Nanas, orang Melayu pun hendak bertanding.

“Kita perlu sokongan orang Cina. Bertanding juga perlu sokongan Melayu, dengan perpecahan tidak mungkin akan berjaya,” ujarnya.

Bekas menteri besar Johor itu turut memberitahu, BN mahu menjayakan Muafakat Nasional yang turut disertai MCA dan disebabkan itu pemilihan calon daripada parti tersebut diputuskan dalam usaha mendepani pengundi bukan Melayu.

“Berasaskan masalah ini, UMNO dan Pas merasai keresahan dibangkitkan Melayu. Sebab itu PRK merupakan pilihan raya yang mana kita ukur sejauh mana penerimaan rakyat terhadap Muafakat Nasional.

“Satu gerakan penyepaduan nasional UMNO dan Pas demi kemakmuran negara. Konsep masyarakat majmuk dipimpin bangsa sebagai teras dengan tujuan penyatuan untuk kita gabung segala usaha bagi memajukan bangsa kita.

“Gerakan ini akan jadi gerakan politik untuk kita lawan PH pada PRU15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette