Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Warung Nelayan Penerok Toben, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka membubarkan parlimen pada awal tahun depan, gurau Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, keputusan pembubaran parlimen tersebut merupakan kuasa mutlak Mahathir dan beliau tiada pengetahuan terhadap perkara itu.

“Itu (bubar parlimen) hanya gurauan sahaja, tidak… bagaimana saya hendak tahu, itu semua keputusan PM, saya tidak tahu.

“Saya cuma mahu menimbulkan kesedaran kepada jentera UMNO dan BN (Barisan Nasional) bahawa jangan rasa senang lenang…kita mesti bersiap sedia.

“Kalau sekiranya PRU diadakan awal, apakah UMNO dan BN sudah bersedia? Itu yang saya hendak bagitahu jadi jangan ambil sambil lewa,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ceramah berkelompok BN di pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Penerok, di sini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad meminta semua jentera UMNO agar tidak menganggap kerjasama antara UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional menjamin kemenangan BN pada PRU-15.

Ujarnya, kesemua penyokong BN mesti mempertimbangkan Sabah dan Sarawak sebagai faktor penyumbang utama untuk menang.

“Selain itu pemilihan calon dari MCA kali ini menunjukkan UMNO tidak bersifat perkauman. Kita pandang gambar lebih besar yang kita tidak hanya lihat keperluan kemenangan di Parlimen Tanjung Piai.

“Kita mahu hantar mesej UMNO bukan perkauman. Apakah keputusan menyatupadukan orang Melayu dianggap rasis? Definisi rasis sudah salah kalau dianggap sedemikian,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast