Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng

PONTIAN – Kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang masuk hari keenam hari ini sudah mampu menunjukkan trend jumlah pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawabnya pada 16 November ini.

Kalau nak diikutkan rentak, kemenangan seperti memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) dari parti MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Berdasarkan ceramah-ceramah yang diadakan oleh parti-parti dan juga calon bebas lain, rata-rata jumlah kehadiran ke program anjuran BN lebih mendapat sambutan.

Boleh dikatakan orang ramai, tidak diketahui sama ada penyokong tegar atau atas pagar lebih teruja untuk hadir ke ceramah anjuran kem warna biru hingga ada satu-satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dijadikan lokasi ceramah dipenuhi orang sampai melimpah-limpah.

Buktinya, dalam ceramah perdana malam tadi, kehadiran empat pemimpin utama dalam Muafakat Nasional iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan telah mengembalikan kekuatan pada pihak pembangkang.

Berbanding ceramah undangan Pakatan Harapan, jumlah kehadiran boleh dihitung malah sesetengah ceramah hanya dipenuhi oleh jentera parti sendiri.

Jika dilihat senario itu, ia membuktikan BN masih lagi relevan di Johor meskipun ditolak oleh rakyat negeri tersebut hingga kerajaan yang dipimpin tersungkur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei tahun lalu.

Gelombang kebangkitan itu mungkin berpunca daripada perkara-perkara semasa seperti kemelesetan ekonomi, komoditi serta beberapa janji yang masih belum ditunaikan oleh kerajaan pada hari ini.

Sementara itu, berbaki tempoh sembilan hari lagi sebelum hari pengundian, suasana kempen bagi PRK berkenaan kini semakin hangat apabila sudah ada laporan polis dibuat terhadap pihak-pihak tertentu sekaligus menghangatkan suasana.

Malah, perbuatan memprovokasi pihak lawan sudah mula berlaku meskipun pihak-pihak tertentu cuba menafikannya dengan menyatakan itu suasana biasa dalam pilihan raya.

Namun, apapun alasan yang diberikan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pasti ada laporannya dan mungkin akan bertindak sekiranya ia melanggar peraturan-peraturan yang mereka tetapkan.

Bagi pengundi di kawasan Tanjung Piai pula, teka teki siapa yang bakal menjadi wakil rakyat bagi membawa suara mereka di Parlimen akan terjawab selepas pukul 10 malam 16 November nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast