Pemain Kebangsaan, Nor Azam Azih bercakap pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Tajikistan pada 9 November 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kehadiran ramai pemain tengah yang memiliki kualiti dan kelebihan tersendiri akan memberi pilihan buat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk memilih kesebelasan utama.

Tonggak tengah Pahang, Nor Azam Azih yang kembali beraksi bersama skuad Harimau Malaya percaya senario itu akan menyaksikan persaingan sengit di bahagian itu yang menampilkan gandingan pemain senior dan junior.

Selain Brendan Gan, Nor Azam juga berharap kehadiran pemain seperti Afiq Fazail dapat membantu meningkatkan prestasi pasukan.

“Kita sekarang ada kombinasi pemain muda dan senior yang mantap.

“Kehadiran pemain seperti Afiq dapat meningkatkan impak pada pasukan dan saya harap kita boleh raih enam mata penuh nanti menentang Indonesia dan Thailand,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Tajikistan esok di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Nor Azam terlepas perlawanan ketiga yang menyaksikan Harimau Malaya tumpas 1-0 keatas Vietnam.

Pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan ekoran jadual padat bersama skuad Tok Gajah bagi saingan Piala Malaysia peringkat suku akhir.

Namanya tersenarai dalam 26 orang pemain yang dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menghadapi tiga perlawanan pada bulan ini.

Selepas bertemu Tajikistan, Malaysia akan melayan kunjungan Thailand dan Indonesia untuk saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Kesemua perlawanan dijadualkan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast