Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

KUALA LUMPUR – Keretakan dalaman Pakatan Harapan (PH) khususnya antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan DAP bukan perkara baru bahkan ianya diakui sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengakuan Ahmad Faizal itu ditularkan dalam media sosial ketika beliau turun padang berkempen bersama calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Rakaman video klip berdurasi dua minit 46 saat yang dimuat naik di Facebook kurang lima jam tadi.

Dalam video klip itu menunjukkan Ahmad Faizal mengakui beliau keseorangan berdepan dengan para pemimpin DAP Perak lebih-lebih lagi ketika memperjuangkan hak orang Melayu.

“Macam saya kat Perak, saya seorang-seorang terkontang-kanting nak berlawan dengan puak-puak DAP ini. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu, saya nak perjuangkan agama kita, saya buat tu perlahan-lahan.

“Tapi Alhamdulillah kat sana kawan-kawan UMNO tak ada marah-marah saya macam ini. Kawan-kawan UMNO sana baik dengan saya,” katanya dalam video klip yang dimuat naik di Facebook milik Azizi Safar hari ini.

Perbalahan di antara PPBM dengan DAP ketara apabila Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu Tian Khiew pada 22 Oktober lalu yang antara lain berkata PH masih mempunyai kerusi Parlimen mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa kehadiran PPBM.

Ronnie turut memberi amaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak membuat keputusan yang bertentangan dan tidak sehaluan dengan pendirian PH.

Menurut Ronnie lagi, DAP, PKR, Amanah, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) sudah mempunyai majoriti kerusi tanpa Bersatu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengakui beliau masih mempunyai ‘darah UMNO’ kerana berasal dari parti berkenaan dan disebabkan itu juga hubungannya masih baik dengan pemimpin parti pembangkang itu di Perak.

“Saya kat sana kalau orang tu orang totok waima (UMNO) saya dulu darah UMNO.

“Saya tak kira siapa saya tolong bangsa kita Sebab itu kawan-kawan UMNO cakap, nasib baik kamu Peja, kalau kena orang lain tau tahu lah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast