ANKARA – Seorang anggota kumpulan IS warga Amerika Syarikat (AS) dihantar pulang ke negara asalnya, kata seorang pegawai Turki ketika Ankara mula menghantar pulang pejuang IS yang ditangkap.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Turki, Ismail Catakli memberitahu agensi berita, Anadolu bahawa seorang warga Jerman, seorang warga Denmark juga diusr hari ini manakala tujuh warga Jerman akan dihantar pulang pada 14 November ini.

Cataki yang tidak mendedahkan mahlumat lanjut suspek warga AS itu berkata, mereka ditahan di pusat tahanan, lapor agensi berita, AP.

“Seorang pejuang pengganas warga asing dari AS telah dihantar pulang dari Turki selepas prosedur dilengkapkan,” kata Catakli yang dipetik Anadolu.

Sejak beberpa minggu lalu Turki mengkritik Barat, termasuk Britain dan Belanda, kerana enggan menerima warga mereka yang menyertai kumpulan militan dan berikrar akan menghantar pulang militan IS walaupun kewarganegaraan mereka telah dibatalkan.

Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu berkata, Turki bukannya ‘hotel’ untuk militan IS dan Ankara akan mula menghantar pulang militan IS yang ditangkap Turki bermula hari ini.

Soylu berkata, kira-kira 1,300 pejuang IS warga asing berada di penjara Turki dan 287 anggotanya, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditangkap semula semasa Turki menyerang timur laut Syria pada bulan lalu. – Agensi