KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menggesa supaya lima projek utama diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi agar dilaksanakan dengan segera di negeri itu.
Menurut ketuanya, Shahir Adnan, pada awal tahun ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat pengumuman lima projek pembangunan untuk rakyat Kelantan diluluskan pada mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai TImur (ECERDC).
“DPIM berpandangan kegusaran Sultan Kelantan ini adalah daripada persoalan yang timbul dek tiada peruntukan tersebut dimasukkan dalam Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan.
“Persoalannya sekarang, bagaimanakah janji menteri dapat dilaksanakan tanpa peruntukan belanjawan sebanyak RM 1.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DPIM menggesa penjelasan diberikan oleh menteri bagi meredakan kegusaran seluruh anak-anak Kelantan dan jangan menganaktirikan rakyat di negeri itu.
Selain itu, DPIM turut menggesa Mohamed Azmin memberikan penjelasan terperinci mengenai Projek Kajian Kemungkinan yang memasukkan Ekonomi Biru sebagai satu cabang baharu di bawah kajian kementeriannya.
Katanya, menurut Bank Dunia, Ekonomi Biru merangkumi pelbagai aktiviti seperti industri perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan maritim, pengurusan sisa, pelancongan, dan perubahan iklim.
Justeru, Ekonomi Biru bermaksud penggunaan sumber laut secara mapan untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan pekerjaan, di samping menjaga kemakmuran dah kesihatan ekosistem laut.
“Persoalannya sekarang, adakah Ekonomi Biru merangkumi persempadanan maritim untuk negeri-negeri di Malaysia, khususnya negeri pengeluar minyak dan gas?
“Sumber minyak dan gas di perairan negara merupakan sumber kewangan yang besar kepada kerajaan pada hari ini. Diharapkan Ekonomi Biru bukanlah satu alat untuk menidakkan tuntutan royalti dari negeri Kelantan yang kian diperkotak katikkan,” katanya.
DPIM juga mahu Mohamed Azmon memberikan maklumat lanjut mengenai Ekonomi Biru agar tiada salah faham berlaku dengan kajian tersebut.
Persoalan persempadanan maritim menjadi isu pokok dalam tuntutan royalti minyak dan gas di Kelantan dan diharapkan projek kajian kemungkinan ini dapat menyediakan input berguna dalam merancang pembangunan sosioekonomi negara dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 bagi tahun 2021-2025 tanpa menganaktirikan kerajaan negeri milik pembangkang terutama Kelantan dan Terengganu.
– MalaysiaGazette