Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes (tujuh kiri) serta yang lain bergambar pada Pelancaran Air Asia Save Our Malayan Tiger di Sepang Aircraft Engineering (SAE), Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 12 NOVEMBER 2019

SEPANG – Kerajaan mempertimbangkan untuk melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pemantauan dan penguatkusaan aktiviti pemburuan secara haram khususnya harimau.

Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar, usaha tersebut bagaimanapun perlu diluluskan oleh kabinet terlebih dahulu.

“Saya telah hubungi Panglima Angkatan Tentera, sekarang kita dalam satu perbincangan di mana kita boleh gunakan ATM di dalam hutan tetapi kena dapat kelulusan dari kabinet untuk demikian (perkara itu) dan elaun yang cukup untuk tentera masuk ke hutan.

“Sebab itu kita kena ada perbincangan sampai masanya kita akan umumkan,” katanya.

Beliau terdahulu hadir di majlis pelancaran Hiasan Khas Pesawat Air Asia ‘Selamatkan Harimau Malaya’ di sini malam ini.

Ia sebagai simbolik sokongan syarikat penerbangan itu terhadap usaha kerajaan menyelamatkan haiwan yang kini semakin kurang populasinya.

Majlis yang diadakan di hangar Sepang Aircraft Engineering (SAE) turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

Dalam pada itu, Xavier sekali lagi menyuarakan pendiriannya bahawa hukuman kepada penceroboh dan pemburu haram perlu ditingkatkan termasuklah denda RM1 juta dan penjara antara 10 hingga 20 tahun.

Usaha tersebut ujarnya hanya boleh dilaksanakan dengan melakukan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan segera.

“Pada masa yang sama melalui kementerian kita akan adakan perubahan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 untuk tingkatkan kuasa kementerian dan kukuhkan hukuman yang mana sekarang akan jadikan dua kali ganda, denda RM1 juta, penjara lebih 10 hingga 20 tahun.

“Termasuk perketatkan larangan, siapa yang boleh masuk hutan siapa dan yang tidak boleh masuk hutan,” tambahnya.

Terdahulu Akta itu dikatakan bakal dibentang di Dewan Rakyat untuk tujuan pindaan pada Disember ini.

Sementara itu, Tony pula berkata, inisiatif Air Asia dalam membantu menyebarkan kesedaran menerusi hiasan pada pesawat Airbus A320 syarikat penerbangan itu diharap akan dapat memberikan impak kepada masyarakat tentang kepentingan untuk bersama-sama memastikan harimau tidak terjejas populasinya.

Katanya lagi, masyarakat perlu sedar jumlah terkini harimau dalam negara semakin membimbangkan.

Untuk rekod, Harimau Malaya sedang mengalami kepupusan apabila jumlah karnivor itu kini dianggarkan hanya tinggal 200 ekor sahaja.-MalaysiaGazette