Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam bercakap pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Restoran Nasi Padang Pontian, Jalan Johor, Pontian. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Calon parti Gerakan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Wendy Subramaniam berhasrat mahu menyerahkan keseluruhan elaun sebagai ahli Parlimen sekiranya beliau diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas ramai dalam kalangan pengundi yang ditemui menyoal langkah yang boleh dilakukan untuk rakyat di kawasan berkenaan sekiranya beliau menjadi wakil rakyat sedangkan, dirinya bukanlah calon mewakili kerajaan.

Katanya, beliau rela bekerja tanpa gaji untuk rakyat kerana langkah partinya meletakkan beliau bertanding pada PRK berkenaan juga adalah untuk menjadi suara ketiga kepada pengundi yang tidak mahu lagi kepada Pakatan Harapan (PH) dan menolak Barisan Nasional (BN).

“Sudah 11 hari saya berjumpa dengan pengundi-pengundi dan penduduk di Tanjung Piai dan mereka tanya apa saya boleh buat jika saya jadi wakil rakyat.

“Saya ingin umumkan iaitu mahu menderma semua elaun sebagai ahli Parlimen sebanyak RM16,000 sebulan jika saya jadi wakil rakyat.

“Wang itu akan dimasukkan ke dalam satu tabung untuk digunakan sebagai kebajikan dan pembangunan di Tanjung Piai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wendy berkata, beliau akan berbuat demikian dalam tempoh dua penggal menjadi wakil rakyat sebagai pengorbanan untuk menyantuni pengundi-pengundinya yang memerlukan.

Katanya lagi, sumbangan tersebut akan diuruskan oleh parti dan yakin ia akan digunakan dengan cara yang telus untuk kebajikan rakyat di Tanjung Piai.

“Saya tak boleh janji kepada pengundi untuk memberikan mereka apa-apa sebab saya bukan di pihak kerajaan dan tidak ada peruntukan.

“Tetapi, apa yang boleh saya buat janji ialah RM16,000 itu akan masuk ke kawasan ini setiap bulan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, beliau sangat bersetuju dengan langkah yang ingin dilakukan oleh Wendy demi menjaga kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.

“Kita bukan kerajaan dan kita tiada sumber-sumber kekuatan seperti kewangan tidak seperti Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional.

“Tapi, kita akan membantu rakyat dengan semangat yang kuat. Wang itu nanti akan dimasukkan 100 peratus dan diurus oleh parti Gerakan menerusi pusat khidmat wakil rakyat di Tanjung Piai,” ujarnya. – MalaysiaGazette