Sebahagian penyokong Berjasa membaca Al-Quran pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan,Pontian,Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menafikan tuduhan parti itu dibiayai oleh Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam satu kenyataan, Ketua Perhubungan Berjasa Johor, Mohd Izzul Mohd Solehuddin berkata, Berjasa tidak pernah menjalin sebarang kaitan dengan Amanah sebagaimana dakwaan yang tersebar dimedia sosial sejak beberapa hari lalu.

“Dalam hantaran tersebut, pihak yang tidak bertanggungjawab itu telah menyebarkan fitnah terhadap Berjasa yang didakwa dibiayai oleh Parti Amanah Negara.

“Berjasa menegaskan sekali lagi, bahawa Berjasa tidak mempunyai hubungkait dengan parti PAN apatah lagi menerima dana dari parti tersebut,” katanya.

Tambah beliau, satu laporan polis akan dibuat petang ini berhubung fitnah yang ditularkan sebagai membersihkan nama parti daripada tuduhan tifdak bertanggungjawab itu.

“Berjasa amat kesal dengan politik keji yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam kempen PRK Tanjung Piai dan ingin menggesa agar semua pihak dapat bertanding secara sihat dengan menolak politik fitnah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.