Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (dua kanan) bertanyakan khabar seorang penduduk yang uzur Rahman Hassan sambil ditemani isterinya, Dalihar Ahmad pada Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Taman Utama Pekan Nanas, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Seorang bekas perajurit yang pernah menentang komunis sehingga hilang selama sebulan sekitar tahun 1983 kini terlantar akibat penyakit saraf misteri  dan mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk menyara hidup.

Suri rumah Dalihar Ahmad, 63, berkata suaminya Rahman Hassan, 68, merupakan bekas Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Majidee Johor berkhidmat selama 13 tahun sebelum berhenti secara sukarela akibat tidak dapat bertahan dengan tekanan kerja pada tahun 1983.

“Dia waktu itu sihat dan pernah menjadi pemandu peribadi beberapa orang kenamaan pemimpin politik sebelum jatuh sakit akibat penyakit misteri berkaitan saraf sejak tiga tahun lalu.

“Badan seolah-olah hilang tenaga, tidak boleh berdiri lama dan sering jatuh, selain dia tidak boleh makan apa-apa hanya hidup dengan minum air seperti milo, teh dan sebagainya.

“Anak pula kerja di Kuala Lumpur dan kami terpaksa merayu bantuan jiran untuk bawa suami merujuk ke hospital pada waktu kecemasan,” katanya sebak ketika ditemui selepas menerima lawatan calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini dalam program Ziarah Kasih pagi tadi.

Menurut Dalihar, beliau pernah bekerja sebagai tukang bersih di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yu Ming 1 di Pekan Nanas sebelum berhenti kerana suami jatuh sakit.

Beliau berkata, bantuan Baitulmal RM200 dan RM350 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya sekadar boleh menampung ubat-ubatan setiap bulan dan tidak cukup untuk menguruskan kehidupan harian.

Katanya pada tahun 1983 juga suaminya dianugerahkan pingat Pingat Jasa Malaysia (PJM) atas jasa keberanian bertempur untuk menumpaskan komunis di Hutan Kluang.

Menurutnya, waktu itu suaminya hanya berpangkat prebet dengan gaji RM500 sahaja sebulan dan ketika suaminya hilang selama sebulan dia hanya mempunyai RM80 untuk menguruskan keluarga.

“Saya pernah memohon bantuan kepada Kementerian Pertahanan menerusi pejabatnya di Johor, saya naik bas dan jalan kaki turun naik pejabat tahun lalu.

“Tapi dimaklumkan walaupun di sini diluluskan belum diluluskan Kuala Lumpur, sehingga rujukan kali kedua tahun ini mereka meminta saya mengisi borang memohon semula saya sedih diperlakukan begini,” katanya.

Katanya lawatan Karmaine memberi sedikit harapan supaya bantuan yang diharapkan dari kerajaan untuk suaminya selaku bekas tentera dapat sampai kepada keprihatinan dan pertimbangan segera Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast