Seorang lelaki mengayuh basikal berlatarkan belakang bendera Barisan Nasional ketika tinjauan lensa Malaysia Gazetet sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kukup, Johor. foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Peringatan terbaharu yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam, nampaknya kurang disenangi oleh parti-parti politik yang bertanding.

Rata-rata parti-parti pembangkang yang ditemui tidak bersetuju dengan arahan berkenaan ekoran masa berkempen kini sudah semakin singkat dan ia akan mengehadkan pergerakan calon untuk bertemu pengundi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng terkilan dengan perkara itu dan meminta agar SPR menarik semula arahan yang dikeluarkan.

Katanya, peringatan berkenaan dilihat seolah menyekat aktiviti berkempen yang selama ini dilakukan dengan bebas.

“Selama ini kita berkempen secara bebas, sekarang nak jumpa pengundi, dari rumah ke rumah pun kena minta permit. Itu menyekat kita jumpa dengan pengundi macam saya, kita nak jumpa pengundi seramai yang boleh.

“Tak tahulah kenapa jadi begini. Semalam baru terima arahan. Tinggal dua hari, kenapa tak mula dari awal atau nyatakan cara apa yang sesuai untuk mudahkan kita bergerak.

“Kita tak ada niat apa, Cuma nak jumpa dengan pengundi beritahu kita calon, calon nombor berapa, mintalah sokongan, itu sahaja. Tapi dukacita kenapa perkara ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program santai bersama pemandu teksi Tanjong Piai di Terminal Bas Pontian, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jeck Seng berkata, pendekatan kempennya sempena PRK kali ini adalah dengan mendekati pengundi, sambil bertanya khabar dan seterusnya mendengar rintihan mereka (pengundi).

Malah katanya, menerusi pendekatan sedemikian, beliau akan memastikan tidak akan ada seorang pengundi di kawasan Parlimen berkenaan yang tidak ditemui dan disebabkan itu beliau merayu agar SPR mengkaji semula arahan dikeluarkan dengan segera.

Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng

“Inilah cara kita berkempen. Say hello dan mendengar rintihan. Apa pun, kempen saya penuh dengan cabaran. Saya pembangkang, dia (Pakatan Harapan) kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dalam satu sidang media berkata, SPR tidak perlu memberikan peringatan seperti itu kerana sudah banyak pilihan raya diadakan di negara ini dan semua pihak memahami.

Katanya, kesemua parti dan individu yang bertanding sudah matang dan faham tentang perkara-perkara yang perlu dipatuhi semasa pilihan raya dan SPR hanya perlu memantau sahaja.

“Saya berharap SPR janganlah buat peraturan seperti ini. Kita cuma ada masa tinggal tiga hari saja lagi. Ini masa yang singkat.

“Kami minta supaya SPR melonggarkan peraturan itu dan berilah laluan kepada calon dan parti politik untuk melawat rumah tanpa permit seperti biasa,” ujarnya.

Bagaimanapun Dominic menegaskan, sekiranya berlaku sebarang pergaduhan pihak polis bolehlah mengambil tindakan dengan adil terhadap pihak-pihak yang mencetuskannya.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun memberi peringatan bahawa kempen yang dibuat dari rumah ke rumah, perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Katanya, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Tegasnya, semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen. – MalaysiaGazette