Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan borang permit yang perlu dipohon oleh setiap parti politik yang bertanding sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor.

PONTIAN – Permit kempen bergerak dengan kenderaan atau berjalan kaki rumah ke rumah diwajibkan bagi mengelak pertembungan antara parti bertanding.

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, perbincangan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan permit berkempen cara itu diperuntukkan di bawah Undang-Undang Pilihan Raya Seksyen 24 B Akta Pilihan Raya 1954

Katanya, apa juga bentuk kempen dijalankan mesti mendapatkan permit yang dikeluarkan ketua polis daerah yang bertujuan memudahcara pemantauan bagi memastikan keselamatan terjamin.

“Pihak polis juga setelah perbincangan dan melihat beberapa insiden yang berlaku dalam tempoh berkempen minggu lepas telah pun buat beberapa tambahan dalam permit bawah Seksyen 14 yang mana ketua polis daerah boleh menambah syarat yang diperlukan untuk aspek-aspek keselamatan adalah bertujuan memastikan kempen selamat dan tidak diganggu gugat oleh mana mana anasir lain

“Jadi, isu permit yang diperlukan setiap alamat sebenarnya tidak timbul, permohonan syarat itu hanya nak pastikan pada waktu kempen kita tahu tempat dan masa pihak berkempen.

“Ini bagi memastikan tak berlaku insiden di mana parti bertanding akan bertemu waktu dan tempat sama dan boleh mencetuskan provokasi dan pergaduhan,” katanya dalam sidang media.

Setakat ini katanya, polis telah mengeluarkan sebanyak 562 permit berkempen dan mengikut pecahan BN mendahului senarai dengan 304 permit diikuti PH (124 permit), Gerakan (115 permit), Berjasa (8 permit), dua calon bebas masing masing (4 dan 7 permit).

Ditanya mengenai rungutan dan kenyataan pembangkang mengenai syarat ketat permit kempen rumah ke rumah, beliau menegaskan, perkara itu sepatutnya tidak menjadi isu.

“Yang penting mereka mesti dapat permit, dalam bentuk apa jua sekalipun kenderaan dan sebagainya mesti ada permit,.

“Kempen rumah ke rumah mesti dapatkan permit jika bertujuan kempen. Kalau tujuan menziarah sahaja tetapi tidak melibatkan kempen, maka isu permit tak timbul.

“Setakat ini polis juga tidak menerima sebarang laporan mengenai calon berkempen dari rumah ke rumah tanpa permit,” katanya.

Menurut beliau, proses permohonan permit tidak sukar sangat sebaliknya hanya perlu mengisi 12 perkara yang diperlukan polis.

“Cuma kempen bergerak ini bagi mengelak berlaku pertembungan antara parti maka kami mewajibkan pemohon agen dan calon letak lokasi dan masa tepat bagi memudahkan kita memastikan kempen selamat tanpa diganggu gugat mana mana pihak tak bertanggungjawab.

“Kali ini menjelang kehadiran Perdana Menteri ke Ceramah Mega PH malam ini sebanyak 100 anggota keselamatan polis ditugaskan mengawal dan memantau keadaan malam ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast