Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan memberikan fokus kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai terlebih dahulu sebelum membincangkan isu Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Ahli Majlis Presiden PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu akan dibangkitkan selepas selesai PRK Tanjung Piai, Sabtu ini di Majlis Presiden PH.

“Saya rasa perkara paling mustahak sekarang adalah untuk fokus kepada PRK Tanjung Piai dan apa-apa perbincangan susulan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) seperti apa yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Armada itu berkata, kenyataan yang dibuat Ronnie bahawa gabungan PH tidak memerlukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah kenyataan yang biadap.

Ahli Parlimen Muar itu sebelum ini memberikan tempoh seminggu untuk Ronnie Liu memohon maaf atau kepimpinan DAP perlu mendisiplinkan beliau.

Syed Saddiq diminta mengulas keputusan Lembaga Disiplin DAP tidak mengambil tindakan disiplin Ronnie Liu berhubung kritikannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mencetuskan perang mulut sesama gabungan PH baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin DAP, Chong Chien Jen berkata parti itu menerima penjelasan yang diberikan Ronnie.

Chien Jen berkata lembaga disiplin parti membuat keputusan itu selepas meneliti penjelasan panjang lebar Liu mengenai tulisannya bertajuk Mahathir: Harimau Kertas.

“Kita sudah meneliti penjelasan beliau dan Lembaga Disiplin menerima penjelasannya,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Armada beri tempoh seminggu Ronnie minta maaf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast