Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ronnie Liu dan DAP diberi tempoh seminggu untuk meminta maaf kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Itu kenyataan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang disokong ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikeluarkan hari ini kepada DAP.

Dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam ruang Facebooknya, Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan tindakan Ronnie yang mengatakan PH tidak memerlukan Bersatu adalah kenyataan yang biadap dan tidak menghormati keharmonian antara parti dalam Pakatan Harapan.

“Armada Bersatu seluruh Malaysia mendesak DAP untuk mendisiplinkan Ronnie atas kebiadapan ini. Kami memberi masa sehingga satu minggu untuk Ronnie Liu memohon maaf atau pimpinan DAP disiplinkan beliau,” katanya.

Tambah Menteri Belia dan Sukan itu lagi,Armada PPBM seluruh negara tidak akan teragak-agak untuk bertindak atas serangan biadap yang dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek berusia 61 tahun itu.

“Jika pimpinan DAP tidak lakukan apa apa, kami akan bebas menyerang pimpinan DAP termasuk pimpinan tertingginya,” tegasnya dalam kenyataan itu.

Ronnie yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa gabungan PH akan terus utuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu.

Ronnie juga memberi amaran kepada Mahathir yang dianggap sebagai ‘harimau kertas’ dan pengerusi Bersatu yang sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.

Lebih biadap, Ronnie turut menuduh secara terbuka Mahathir mengejar model parti dominan Melayu ala Barisan Nasional dengan memberi contoh penerimaan bekas pemimpin UMNO dalam PPBM selain mempersoalkan ketiadaan tarikh tetap peralihan kuasa perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Ronnie dikritik sebagai tindakan biadap dan keterlaluan tanpa menghormati konsensus PH dan keharmonian pakatan memerintah itu.-MalaysiaGazette

4 Komen

    • Betul tu…..reject aje DAP tu!
      kita buat parti campuran tanpa DAP utk memerintah kerajaan…@
      Kita buat PRU15 sekarang…….!!!?

Comments are closed.