Dominic (tengah) menunjukkan tangkapan skrin Wan Muhammad Azri yang tersebar di laman sosial

PONTIAN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris apabila memuatnaik rakamannya yang bersifat rasis terhadap kaum Cina dan India baru-baru ini.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, rakaman yang tersebar jelas menunjukkan bahawa Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo bercakap perkara yang telah menghiris hati kaum berkenaan serta boleh menimbulkan ketegangan.

Dominic turut mempersoalkan tujuan Wan Muhammad Azri berbuat demikian ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sedang berlangsung.

“Saya telah melihat sebuah video yang menunjukkan Wan Muhammad Azri yang juga seorang blogger berkata jika UMNO dan Pas berjaya dengan kerjasama yang dilakukan dan menubuhkan kerajaan orang Melayu mereka akan membatalkan hak mengundi rakyat bukan Bumiputera di negara ini.

“Kami merasa kecewa dan mengutuk kenyataan tersebut dengan sekeras-kerasnya kerana hak mengundi adalah hak dibawah Perlembagaan untuk setaip rakyat di Malaysia.

“Oleh itu, tidak kira agama atau budaya parti Gerakan akan mempertahankan hak mengundi setiap rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dominic menegaskan, UMNO perlu memecat Wan Muhammad Azri di atas sikapnya itu yang dilihat boleh memecah belahkan perpaduan kaum yang telah sekian lama dinikmati oleh semua rakyat sejak dahulu lagi.

Ujarnya, jika UMNO tidak berbuat demikian bagaimana parti yang induknya adalah Barisan Nasional (BN) boleh membawa perpaduan kaum jika membentuk kerajaan semula selepas ini.

Malah katanya, apa yang boleh dilakukan oleh MCA yang merupakan parti gabungan dalam BN untuk bersuara mewakili kaum Cina di Parlimen jika, orang-orang seperti Wan Muhammad Azri tidak dilenyapkan daripada BN.

Ketika ditanya mengapa perkara tersebut dibangkitkan ketika hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tinggal berbaki beberapa jam, Dominic memberitahu, beliau baru sahaja mendapat maklum mengenai perkara berkenaan menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Cina.

Ujarnya, rakaman tersebut juga baru sahaja ditonton semalam dan disebabkan itu sidang akhbar mengenainya wajar diadakan agar UMNO dapat bertindak segera terhadap perkara tersebut.

Dominic menegaskan laporan polis mengenai perkara itu akan dibuat selepas PRK Tanjung Piai kerana parti itu kini sedang menumpukan gerak kerja disaat akhir sebelum menjelangnya pilihan raya esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast