Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

PEKAN NANAS – Pengundi-pengundi Melayu di kawasan Parlimen Tanjung Piai diminta  tidak keliru dengan keputusan Muafakat Nasional mencalonkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengundi Melayu tidak perlu bimbang untuk mengundi Jeck Seng yang berbangsa Cina kerana pemilihannya adalah sebagai wakil rakyat dan bukannya untuk mengimamkan solat.

Katanya, mereka tidak perlu termakan dengan kata-kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika menyampaikan ceramahnya pada kempen PRK berkenaan baru-baru.

“Saya nak ingatkan yang kita nak pilih ini bukan imam sembahyang. Kita nak pilih wakil rakyat.

“MCA dalam blok pembangkang dan kita mesti menangkan calon kita untuk kuatkan suara kita di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional sempena PRK Tanjung Piai di sini malam ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bersalaman dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2019.

Hadir sama pada ceramah itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong da Presiden MIC, Datuk Seri Vigneswaran.

Tuan Ibrahim berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dilihat bercakap tidak menggunakan akal tidak seperti ketika mereka menjadi pembangkang sebelum ini.

Perkara itu katanya dapat dilihat apabila DAP yang pernah didampingi Pas sebelum ini memutarbelitkan fakta mengenai hubungan MCA dalam Muafakat Nasional.

Ujarnya, Pas menolak DAP bukan kerana parti Islam itu rasis sebaliknya, parti cauvinis itu dilihat terlalu ekstrem dan suka membangkit perkara bersifat perkauman. – MalaysiaGazette