Datuk Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendedahkan terdapat seramai 575,292 pekerja asing warga Bangladesh memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih aktif di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khair Dzaimee Daud berkata, manakala pemegang pas bagi kategori di bawah ekspatriat pula melibatkan seramai 4,908 warga Bangladesh.

Beliau berkata, walaupun apa pun alasan diberikan termasuk bebanan hutang, warga Bangladesh atau mana-mana warga asing yang tidak pulang ke negara asal selepas tamat tempoh pas boleh dikenakan tindakan tegas.

“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia setelah Pas atau Permit tamat dan dibatalkan.

“Jika terbukti bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Dalam Negeri Warga Asing, Datuk Seri P Thiagaraja mendedahkan, hampir 70 peratus pekerja warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia tidak pulang ke negara asalnya kerana dibebani hutang di negara mereka.

Menurut Thiagaraja, warga Bangladesh terbabit tidak mampu untuk membayar semula hutang itu kerana terikat dengan kontrak selama dua tahun bekerja di Malaysia.

Beliau mendakwa, ada di antara warga Bangladesh ini terpaksa berhutang bahkan ada yang menjual tanah untuk mencari rezeki di Malaysia.

Dalam pada itu, mengikut rekod JIM, seramai 29,251 warga Bangladesh telah ditahan dan didakwa atas pelbagai kesalahan imigresen sejak Januari 2017 sehingga November 2019.

“JIM sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau aduan dan memohon supaya pihak pertubuhan menyalurkan terus maklumat kepada jabatan ini untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette