Persidangan Antarabangsa bertajuk Vaping daripada Perspektif Global yang berlangsung di MIECC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat peneraju pengeluar vape atau rokok elektronik, NCIG (M) Sdn. Bhd. akan menghentikan operasinya di negara ini dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariffudin Bujang berkata, keputusan itu dibuat bagi menumpukan kepada pasaran luar negara terutama di Eropah dan United Kingdom selepas industri vape belum diregulasi di negara ini.

Beliau berkata, pada masa sama pihaknya menerima desakan selain berdepan banyak kekangan untuk meneruskan operasi syarikat sejak ditubuhkan 11 bulan lalu.

“Kami berpendapat akan mampu membantu ramai orang sekiranya menerokai pasaran di negara luar yang lebih luas.

“Di Malaysia, nikotin tidak ada undang-undang dalam bentuk vape dan ia masih lagi dirangka serta akan dibincangkan di Parlimen bulan Mac tahun depan.

“Namun keputusan yang diambil syarikat ini akan menjejaskan 700 tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk-produk baharu NCIG-NCIG2 Total Solution sempena Persidangan Antarabangsa bertajuk Vaping daripada Perspektif Global yang berlangsung di MIECC, Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Antara perokok tegar vape yang hadir pada Persidangan Antarabangsa bertajuk Vaping daripada Perspektif Global yang berlangsung di MIECC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika ini, pasaran Malaysia menyumbang 30 peratus kepada pasaran produk NCIG manakala 70 peratus pasaran utamanya ialah di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah.

Shariffudin menambah, sejak berada di pasaran, NCIG telah berjaya membantu menghentikan 170,000 perokok tegar di negara ini.

Pada masa sama jelasnya, sehingga kini sebanyak 100,000 tan minyak sawit tempatan digunakan dalam industri vape di Malaysia.

“Jika kerajaan sedia untuk regulasi produk bernikotin, kami bersedia untuk meneruskan perjuangan di Malaysia.

“Kami tidak akan membantu perokok Malaysia berhenti merokok sebaliknya dikhuatiri akan mengalakan orang lain mula menghisap e-rokok dan merokok,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 30,000 peluang pekerjaan dilaporkan berjaya diwujudkan melalui industri itu di negara ini.

Malaysia ketika ini berada di tempat kedua pengeluar vape terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

Mengenai regulasi pula, United Kingdom menjadi negara pertama mengawal selia penggunaan vape sebelum diikuti Amerika Syarikat dan Indonesia. – MalaysiaGazette

019. Ketua Pegawai Eksekutif NCIG, Shariffuddin Bujang.