Reaksi Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng selepas diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Parlimen 165 Tanjung Piai kembali menjadi milik Barisan Nasional apabila calonnya Datuk Seri Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi menenggelamkan calon Pakatan Harapan, Karmanie Sardini yang meraih 10,380 undi.

Wendy Subramaniam dari Gerakan mendapat 1,707 undi diikuti Berjasa, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dengan 850 undi.

Dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Loc mendapat 380 undi serta Faridah Aryani Abdul Ghafar mewakili Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM) dengan 32 undi

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim di sini sebentar tadi.

Suasana di Dewan Jubli Intan yang menjadi pusat penjumlahan undi dipenuhi penyokong Barisan Nasional (BN) termasuk barisan pimpinan seperti Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

Ribuan penyokong BN turut membanjiri perkarangan luar pusat penjumlahan undi bagi meraikan kemenangan parti itu pada PRK berkenaan.

Suasana gamat bermula sejak pukul 8.30 malam dengan penyokong mengibar bendera parti sambil bersorak.

Keadaan tetap terkawal dengan kehadiran anggota polis di sekitar pusat penjumlahan undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast