Tanjung Piai menjadi medan perang bendera parti politik yang bertanding sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kukup, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2019.

SEGALA strategi dan inisiatif telah dilakukan oleh semua pihak yang bertanding di PRK Tg. Piai.

Terserlah keghairahan luar biasa mereka yang bertanding untuk menang. Menang dengan apa juga kosnya.

Dalam kes PRK Tg. Piai, pertembungan enam penjuru atau hakikat sebenarnya lebih kepada dua penjuru menzahirkan betapa ‘gilanya’ orang politik akan kuasa.

Berbagai strategi kempen digunakan. Rakyat Tg. Piai ‘dimandikan’ dengan kempen berteraskan fakta bersulam dusta, provokasi, wang ringgit, projek segera dan berbagai bentuk habuan lain.

PRK umpama durian runtuh buat rakyat ditempat berkaitan. Budaya politik apakah yang sedang membentuk DNA politik negara ini.

Jika direnung sedalam-dalamnya, buruk sungguh ‘peradaban’ yang ditunjukkan oleh sebahagian besar pemimpin dan politikus yang terlibat ketika berkempen.

Tanpa segan silu fakta yang dikongsi disulami dengan fitnah, provokasi dan janji-janji pembohongan.

Parti dan kredibiliti calun dari parti lawan dicincang selumat-lumatnya.

Jelas, di Malaysia hari ini, pilihanraya telah menjadi medan ‘halal’ untuk menghina, memfitnah dan bercakap bohong oleh khususnya mereka yang taksub dengan fahaman kemenangan harus dicapai walau apapun harganya.

Kegilaan apakah ini semua?

Inikah barisan pemimpin dan ahli politik yang negara ada hari ini?

Sudah ketandusankah negara ini akan pemimpin dan ahli politik yang berintegriti, budiman dan berwawasan?

Sampai bila rakyat mahu disajikan dengan kempen politik dengan ‘nafas’ berbaur dengan fitnah, perkauman, penghinaan agama dan raja, pembohongan dan ‘rasuah’ kebendaan yang menjijikkan.

Sukar sangatkah untuk menjadi pemimpin dan parti politik yang berintegriti dan budiman?

Benar, politik itu seni tetapi mengapa pemimpin dan parti politik itu memilih seni yang kotor sedangkan ada pilihan yang bersih dan berwawasan.

Pemimpin dan parti, tanpa kalian sedari, kalian sedang mengajar seluruh rakyat khususnya anak-anak yang masih di bangku sekolah dan orang muda satu budaya politik berkelas rendah atau ‘bertaraf longkang’.

Sesungguhnya pemimpin politik dan politikus punya ‘dosa’ cukup banyak kepada rakyat dan negara ini.

Kerakusan kalian untuk berkuasa benar-benar menjengkelkan.

Kalian mungkin rasa hebat di mana anugerah kepetahan berbicara yang Tuhan berikan kalian ‘gunakan sebaiknya’.

Malangnya kelebihan itu kalian gunakan dengan buruk sekali.

Kalian jadikannya untuk menabur fitnah, hina kaum, agama dan raja dan bercakap bohong itu adalah ‘zikir’ utama politik kalian.

Hentikanlah semua sikap bobrok itu. Jadilah pemimpin dan parti yang jujur, ikhlas, berintegriti dan berwawasan baik dalam usaha mencari kuasa atau menggunakan kuasa dalam pemerintahan negara ini.

Jangan teruskan permainan politik iaitu bila ada PRK baru nampak muka pemimpin, dan baru datang bantuan mencurah-curah untuk rakyat.

Santunilah dan berkhidmatlah untuk rakyat setiap masa dan bukan bila ada PRK atau dekat dengan PRU sahaja.

Jangan jadikan politik untuk mencari kekayaan.Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda pada maksud terdekatnya iaitu sembilan dari sepuluh punca kekayaan itu datangnya dari perniagaan.

Jelas sekali politik bukan platform untuk tujuan tersebut. Jangan kalian cari kekayaan itu dengan menganiaya rakyat. Rakyat berhak mendapat kehidupan yang baik dan kalian berkerja untuk rakyat.

Dengan kata lain, kematangan kalian dalam berpolitik dan selaku pemimpin amat diperlukan.

Rakyat dan negara memerlukan pemimpin dan parti politik yang mampu membawa mereka dan negara ke hadapan menerusi polisi, strategi dan inisiatif berteraskan pembangunan, keadilan dan inklusiviti.

Kalian sebagai ahli politik mampu melakukannya. Ingatlah bahawa kepimpinan kalaian baik atas kapasiti individu mahupun parti akan sampai masanya bertemu titik noktah juga.

Untuk itu pastikan rakyat merumuskan kalian sebagai seorang pemimpin yang mesra rakyat, kuat berkerja untuk rakyat dan berintegriti.

Jangan malukan diri kalian sehingga kalian dirumuskan sebagai pemimpin atau parti yang korup, pembohong dan segala yang negatif.

Berubahlah sebelum terlambat iaitu sebelum kalian diubah oleh rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast