Dewan Rakyat akan bersidang 13 Julai ini dengan usul dikemukakan Perdana Menteri untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker. -Gambar Hiasan.

PETALING JAYA – Walaupun tarikh akhir pengisytiharan aset untuk Ahli Parlimen adalah pada Jumaat, tetapi sehingga pagi hari itu, ramai wakil rakyat belum melakukannya.

Sinchew Daily melaporkan, kesemua 18 Ahli Parlimen Pas tidak melakukan pengisytiharan, sementara kebanyakan pemimpin UMNO khususnya bekas menteri juga tidak melakukannya.

Mereka termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Khairy Jamaluddin

Untuk parti pemerintah pula, hanya segelintir wakil rakyat, khususnya dari Borneo, belum membuat pengisytiharan aset.

Namun begitu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran juga tidak membuat pengisytiharan.

Mereka yang tidak menuruti arahan boleh dianggap sebagai menghina Parlimen dan boleh diserah kepada jawatankuasa untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Penyelaras Majlis Ahli-Ahli Backbenchers, Ong Ooi Heng berkata, Pas sebelum ini telah menyatakan tidak bersetuju dengan pengisytiharan harta.

“Saya percaya mereka memang tidak akan melakukannya.

“Yang mengejutkan saya, wakil rakyat pembangkang dari Borneo yang paling banyak melakukan pengisytiharan, mereka nampaknya tidak mengikut rentak pembangkang di Semenanjung,” katanya.

Katanya, walaupun ramai pemimpin UMNO tidak mengisytihar, tetapi segelintir wakil rakyat parti itu telah berbuat demikian.

Dalam pada itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, wakil rakyat yang menghina Parlimen boleh didenda.

“Kelayakan mereka boleh digantung, didenda RM1,000 atau dipenjara,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, Dewan Rakyat tidak akan menggantung kelayakan Ahli Parlimen secara sembarangan.

“Mereka akan dirujuk kepada jawatankuasa yang akan bermesyuarat dan memberi laporan untuk dibahaskan dalam dewan.

“Mereka akan diberi ruang untuk membela diri, kami tidak akan bersikap kuku besi seperti pentadbiran dulu yang menyebabkan pemimpin seperti Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast