PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

ALOR GAJAH – Dua rakan karib maut setelah kereta yang mereka naiki dihempap sebuah treler membawa muatan bahan kimia dari arah bertentangan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara kira-kira 7.45 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Melaka, Supt Hassan Basri Yahya berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk menjalani latihan industri di ibu negara meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa terbabit telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk menjalani bedah siasat dan mangsa dikenali sebagai Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar Mohd Ali dan Muhammad Lukman Haqim Mosyazid masing-masing berusia 19 tahun,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian membabitkan enam kenderaan itu enam mangsa lain mengalami kecederaan iaitu dua orang dewasa dan tiga orang kanak-kanak, manakala pemandu treler hanya mengalami kecederaan ringan dan kesemua mangsa menerima rawatan di Hospital Alor Gajah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sementara itu lima orang dewasa dan dua orang kanak-kanak, dari kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

Katanya, treler dari arah Seremban terbabas dan memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh lima kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, pihak bomba terpaksa menguna dua kren bagi memindahkan treler yang menghempap sebuah kereta jenis Myvi dan bomba terpaksa memotong kereta tersebut untuk mengeluarkan mangsa.

“Pemandu treler terbabit akan direman selain ujian saringan air kencing dan sampel darah turut diambil,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Bernama