Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam percubaan menangguh perbicaraan kes ketiga yang dihadapinya pagi ini iaitu prosiding pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika membuat keputusan yang sudah dijangka itu berkata, beliau menolak permohonan itu dan mahu perbicaraan dimulakan pada pagi ini.

“Saya telah pertimbangkan permohonan ini dan telah membuat menolak permohonan, kita akan teruskan sahaja perbicaraan hari ini,” kata Mohamed Zaini.

Jumaat lepas, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, membantah permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadual bermula hari ini.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan bekas Perdana Menteri itu dalam membuat pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Kata Arul melalui peguamnya, beliau mahu teruskan perbicaraan bagi membersihkan nama beliau daripada pertuduhan dan enggan kes ini ditangguhkan lagi.

Manakala peguam mewakili Najib, Harvinderjit Singh berkata, jika perbicaraan bermula hari ini, mereka hanya mempunyai masa yang singkat untuk menyiapkan pembelaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan itu bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) dan 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Najib dan Arul Kanda kelihatan tenang dan mengangguk tanda faham dengan pertuduhan yang dibacakan sebelum perbicaraan ini di mulakan. – MalaysiaGazette