Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (tengah) mengangkat tangan sebagai tanda meraikan kemenangannya pada pengumuman keputusan bagi Pilihan Raya Kecil P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2019.

PILIHAN RAYA KECIL (PRK) Tanjung Piai telah melabuhkan tirai secara rasmi. BN dengan nafas baru menerusi Muafakat Nasional telah menang dengan bergaya.

Cukup sukar untuk parti pemerintah menerima kekalahan besar tersebut. Ego mereka bagai telah direntap dan dihempaskan sekuatnya ke tanah.

Kekalahan mereka bukan dengan majoriti kecil tetapi sebanyak 15,806 undi berbanding PH menang dengan 524 undi dalam PRU lalu.

Di mana silapnya? Benarkah Tun M mahu dijadikan kambing hitam?

Dari segi kelemahan memang cukup banyak kelemahan kerajaan PH di mata rakyat.

Pastinya ia berpunca dari kegagalan PH menunaikan hampir semua 10 janji untuk tempoh 100 hari pemerintahan yang menjadi mimpi ngeri buat seluruh rakyat yang percaya kepada semua janji-janji manis tersebut.

Di samping itu mereka juga ‘masih gagal’ memenuhi impian rakyat contohnya rakyat mahu kilang Lynas ditutup tapi masih kekal, rakyat mahu sistem pendidikan direform tetapi masih celaru, rakyat mahu ekonomi berkembang tapi makin lesu malahan banyak cukai baru diperkenal, rakyat mahu peluang pekerjaan dicipta tapi peluang pengangguran yang semakin bertambah dan ini turut disebabkan amat kurang FDI masuk, rakyat mahu sistem pengangkutan awam lebih baik tetapi kereta terbang yang diutamakan, rakyat miskin mahu pembelaan tetapi penghapusan bantuan kepada mereka pula jadi pilihan, kakitangan kerajaan berharap disantuni dengan baik tetapi kesetiaan mereka kepada kerajaan diragui dan berbagai sebab lain lagi.

Semua kegagalan di atas menjawab soalan pertama iaitu punca PH ditolak dalam PRK Tg. Piai, Rantau, Semenyih dan Cameron Highlands dan tidak mustahil dalam PRU akan datang juga jika mereka terus gagal memperbaiki kelemahan.

Namun wajarkah sebahagian barisan kepimpinan PH dan pendukung tegar mereka mempersalahkan Tun M sepenuhnya dan mendesak beliau berundur.

Jawapannya pasti tidak wajar kerana tidak adil untuk meletakkan segala punca kegagalan itu kepada Perdana Menteri seorang.

Punca utama masalah adalah kegagalan PH memberi mandat yang jelas kepada Perdana Menteri untuk mencorak barisan kabinet bertaraf 5 bintang dengan ciri-ciri khas contohnya cerdas, cerdik, cekap dan berintegriti.

Untuk itu, amat wajar semua pemimpin dalam PH dan di blok pembangkang memberi sokongan kepada PM untuk terus memimpin negara.

Bagaimana beliau dapat menyelesaikan segala kepincangan yang ada dalam negara sekiranya tidak mendapat sokongan padu dari semua pihak.

Sesungguhnya kelangsungan, kestabilan dan kemajuan negara lebih penting dari agenda-agenda lain.

Di samping itu segala bentuk tekanan kepada lawan politik perlu dihentikan. Carilah kaedah lebih baik untuk menyelesaikan masalah.

Amat mendukacitakan apabila melihat mereka yang pernah menjadi pemimpin utama negara dimalukan, disingkir mahupun dipenjara atau bakal dipenjara atas pertuduhan-pertuduhan yang ‘cenderung’ kepada pembunuhan karektor musuh-musuh politik kepada mereka yang berkuasa.

Namun jika benar mereka bersalah dakwalah mereka dan bicarakanlah mereka dengan adil.

Ingatlah bahawasanya rakyat khususnya generasi anak muda melihat tindak tanduk kalian.

Jangan ‘ajar’ mereka dengan cara hidup yang salah iaitu penuh tipu muslihat, adu domba dan fitnah yang menjijikan.

Sikap dan budaya kita hari ini menentukan kualiti pemimpin kita di masa hadapan. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Dulu 22 tahun Madey perintah Malaysia dgn cemerlang melalui kebijaksanaan pemimpin/menteri BN…

    La ni kebodohan Madey terserlah dgn kebodohan pemimpin/menteri PeeH… 🙂

Comments are closed.