KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum memutuskan sama ada akan mengeluarkan kereta terbang nasional atau sebaliknya.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, beberapa perkara perlu dibincangkan secara menyeluruh, khususnya melibatkan aspek ruang udara.
“Saya masih belum tahu perincian mengenainya (kereta terbang) lagi. Saya hanya mahu meneliti manfaat kereta terbang ini terlebih dahulu.
“Ketika ini kita masih mempunyai pertikaian mengenai ruang udara dan perbincangan mengenainya sedang dijalankan di peringkat kerajaan tentang bagaimana ia boleh diselesaikan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Mohd Redzuan juga enggan mendedahkan lokasi sesi pandu uji kereta terbang yang akan dibuat Khamis ini kerana ia dibuat secara tertutup oleh firma swasta.
Malah, media juga tidak dibenarkan hadir tetapi segala maklumat mengenai sesi uji itu akan dikongsikan oleh syarikat berkenaan.
Hanya wakil-wakil rakyat dalam kalangan kerajaan dan pembangkang sahaja diundang untuk menyertai sesi secara tertutup itu. – MalaysiaGazette