KUALA LUMPUR – Ini perjumpaan biasa. Tiada yang luar biasa.
Itu reaksi pertama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditanya tentang pertemuannya dengan 22 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya di Putrajaya malam tadi.
Katanya, adalah biasa untuk beliau bertemu dengan mana-mana pihak yang ingin berbincang tentang maklum balas rakyat termasuk dari parti pembangkang lantar beliau memang mengamalkan sikap terbuka.
“Jangan dengar khabar angin. Ini perjumpaan biasa. Tidak ada perkara yang luar biasa. Ini mesyuarat biasa dan saya ambil sikap terbuka, mana-mana pihak yang ingin bertemu dengan saya, saya akan bertemu.
“Saya bertemu dengan rakyat, masyarakat perniagaan, ahli-ahli Parlimen sama ada dalam Pakatan Harapan ataupun bukan Pakatan Harapan.
“Ini kerana penting sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, kita ingin mendapatkan maklum balas daripada rakyat, masyarakat perniagaan tentang apakah penerimaan dasar kerajaan.
“Ini bukan satu perkara luar biasa yang kita harus gembar-gemburkan. Saya bertemu dengan banyak pihak setiap hari,” katanya kepada pemberita
Mengenai siapa yang memanggil pertemuan dengan wakil rakyat BN itu, Azmin berkata, beliau tidak ingat siapa yang meminta diadakan pertemuan, bagaimanapun sesiapa sahaja yang meminta beliau akan bertemu.
Ditanya berkenaan mesyuarat kedua petang ini, Azmin tidak menjawab secara spesifik namun hanya berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak setiap hari.
“Setiap hari. Saya ada banyak perjumpaan. Setiap hari dari pagi sampai lewat. Berjumpa dengan ramai orang, dari pelbagai kumpulan, ada ahli politik, ada ahli Parlimen, pemimpin perniagaan, pelabur asing. Itu adalah tugas menteri, saya perku bertemu dengan orang,” katanya lagi.
Kelihatan Ahli Parlimen Segamat, Dr Edmund Santhara; Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya); Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal) datang ke pejabat Azmin.
BACA: Tuduhan saya ketuai pertemuan dengan Azmin tidak benar – Hishammuddin
Pertemuan dengan lima Ahli Parlimen PKR dan kira-kira 22 Ahli Parlimen BN di kediaman rasmi Azmin semalam mencetuskan pelbagai persoalan.
Malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenainya berkata, Azmin perlu menjelaskan isu tersebut dalam Mesyuarat Biro Politik yang akan berlangsung esok.
Malah menurut Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pertemuan yang diadakan di tengah-tengah kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai memberikan mesej negatif tentang Pakatan Harapan kepada rakyat.
BACA: Pertemuan dengan Azmin beri mesej negatif kepada PH
– MalaysiaGazette