Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan beliau telah mengetuai pertemuan yang berlangsung antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 22 wakil rakyat Barisan Nasional malam tadi.

“Tuduhan yang saya mengetuai pertemuan antara Azmin Ali dan Ahli Parlimen pembangkang semalam tidak benar sama sekali,” katanya dalam ciapan di laman Twitter hari ini.

Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO juga menafikan dakwaan bahawa beliau merancang pertemuan tersebut.

Katanya, beliau juga sedia disiasat oleh Lembaga Disiplin UMNO jika badan itu mahu mengambil tindakan sedemikian.

“Namun, jika lembaga disiplin UMNO nak siasat saya, saya sedia disiasat. Tiada apa saya hendak sembunyikan,” katanya.

Bekas Menteri Pertahanan itu menjawab tuduhan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menyifatkan Hishammuddin sekali lagi mengkhianati rakyat Malaysia khususnya pengundi di Tanjung Piai.

Malam tadi sekumpulan 22 wakil rakyat BN hadir di kediaman rasmi di Putrajaya dan antara yang dilihat hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor juga Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran).

— MalaysiaGazette