KUALA LUMPUR – Pertemuan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan beberapa Ahli Parlimen PKR dan Barisan Nasional (BN) memberikan mesej negatif terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana berlaku ditengah-tengah kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pertemuan antara pemimpin dan wakil rakyat daripada parti yang berseteru itu merupakan pengkhianatan terhadap rakyat.
Tidak mahu mengulas secara terperinci, namun Shamsul Iskandar yakin tindakan tersebut akan menjadi pemerhatian dan akhirnya dinilai rakyat yang sebelum ini memberikan mandat kepada PH.
“Pertemuan dengan pimpinan UMNO biar rakyat menilailah sehari selepas kekalahan teruk PRK Tanjung Piai. Kita ada seorang Naib Presiden Pakatan Harapan (Azmin) yang buat pertemuan dengan pimpinan UMNO yang dikatakan, saya pun tidak ada bukti jelas seperti saya kata ini melalui Whatsapp yang berlegar.
“Jadi rakyat nilailah, saya percaya ia tentu kalau tidak sakitkan hati rakyat atau perkataan paling sesuai mengkhianati amanah yang rakyat beri kalau pertemuan seperti ini berlaku sehari selepas kekalahan teruk Pakatan Harapan.
“Ia memberi mesej negatif kepada Pakatan Harapan dan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya turut memaklumkan beliau tidak mendapat jemputan untuk pertemuan yang dilaporkan melibatkan sekurang-kurangnya 22 Ahli Parlimen BN dan lima dari PKR. – MalaysiaGazette