Natasha Roslan

KUALA LUMPUR – Kehadiran keluarga menjadi pencetus kebangkitan semangat Natasha Roslan selepas beliau berjaya menduduki kedudukan teratas dalam pusingan ketiga Piala Dunia Boling ke-55 di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, Indonesia, hari ini.

Kehadiran bapanya, Mohamed Roslan Ismail, ibu Anita dan adiknya, Adilla menjadi perangsang utama kepada pemain elit boling kebangsaan, yang mencatatkan 215-166-210-226-222 dan 186, untuk mengumpul 3,766 jatuhan pin untuk merebut tempat teratas daripada pemain Amerika Syarikat Kelly Kulick yang mendahuluinya semalam, kini berada di kedudukan kedua dengan 3,360 jatuhan pin.

Pemain Rusia Maria Koshel naik dua tangga, ke tempat ketiga dengan jumlah keseluruhan 3,710 jatuhan pin.

Mengulas mengenai prestasinya, Natasha, yang bermula cemerlang dengan mendahului pusingan pertama pada Isnin, gembira dengan aksinya, dan menambah keluarganya telah membangkitkan semangat beliau untuk beraksi cemerlang dalam perlawanan hari ini.

“Penyokong utama saya (keluarga) berada di sini hari ini, dan saya lakukan balingan terbaik. Berada di kedudukan pendahulu adalah bonus dan saya dedikasikan kepada ibu bapa saya, tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya hanya mahu menumpukan permainan satu demi satu dan lakukan balingan terbaik,” katanya. – Bernama