KUALA LUMPUR – Ahli-ahli politik negara digesa supaya segera mendalami dan menangani masalah perumahan rakyat kerana bilangan rumah siap dibina tetapi tidak terjual cukup kritikal.

Berdasarkan laporan Pasaran Harta oleh NAPIC untuk tahun 2018, sejumlah 32,313 unit harta tanah kediaman yang belum terjual dengan nilaian kira-kira RM 19.8 bilion.

Manakala untuk tahun 2019 pula, sejumlah 32,936 unit harta tanah kediaman yang belum terjual dengan nilaian kira-kira RM 20 bilion.

Secara keseluruhannya, sebanyak 120,309 unit dilancarkan pada suku pertama 2019 dan sebanyak 27.4% tidak terjual.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.9% unit dan 0.5% nilai berbanding tahun sebelumnya, kata  Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Shahir Adnan
Shahir Adnan

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 28.9% jumlah unit tidak terjual adalah rumah teres, 37.7% adalah rumah semi-D, 29.0% adalah flat kos rendah dan rumah kos rendah, 24.9% adalah kondominium atau flat dan 21.3% lain-lain jenis perumahan.

“Berdasarkan statistik ini, jumlah unit rumah dan flat kos rendah adalah penyumbang kedua terbesar unit yang tidak terjual. Keadaan ini membimbangkan kerana rumah kos rendah dan flat kos rendah dibina untuk golongan B40 supaya mereka mendapatkan kemudahan asas tempat tinggal yang selesa daripada panas matahari dan hujan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shahir menambah, berdasarkan maklumat yang diperoleh juga, hampir 62% daripada jumlah keseluruhan unit tidak terjual adalah bernilai RM 500,000 dan ke bawah, manakala baki 38% adalah unit bernilai RM 501,000 dan ke atas.

Setelah diperincikan, sebanyak 37% pula adalah unit bernilai RM 300,000 dan ke bawah, termasuklah unit rumah mampu milik yang dicanang kerajaan.

“Keadaan ini sebenarnya cukup membimbangkan kerana nilaian harta tanah di bawah RM 300,000 adalah nilaian harta tanah yang boleh dikecapi oleh anak muda yang baru bekerja.

“Fakta ini menunjukkan, walaupun harga di bawah RM 300,000 sekali pun, ramai rakyat Malaysia, terutama anak muda masih tidak mampu untuk memiliki rumah,” tegasnya.

Shahir menambah, DPIM kecewa dengan Belanjawan 2020 apabila kerajaan mencadangkan untuk menurunkan had harga tanah untuk pembeli asing kepada RM 600,000, yang mana langkah kontroversi ini dilihat mengenepikan hak rakyat, terutama anak muda yang akan terus terlopong untuk memiliki
rumah sendiri.

Kerajaan seharusnya memberikan diskaun kepada rakyat Malaysia yang mahu memiliki rumah dan bukannya eksploitasi harga kepada RM600,000 dan ke atas untuk dijual kepada rakyat asing.

“Kesudahannya, banyak rumah akan dibina atau dinaikkan harga kepada RM 600,000 untuk mendapatkan pasaran warga asing ini,” ujarnya.

Beliau berkata, DPIM bersetuju dengan langkah kerajaan meneruskan inisiatif Skim Perumahan Belia (SPB) BSN yang bertujuan membantu belia yang berumur di antara 25 tahun hingga 40 tahun yang sudah berkahwin dan berpendapatan
tidak melebihi RM 10,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama.

Tetapi, inisiatif ini perlu ditambahbaik dengan memperluaskan inisiatif ini kepada anak muda yang belum berkahwin atau bercerai agar mereka tidak disisihkan hanya kerana status perkahwinan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast