Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Dis bagi mendengar permohonan prosiding komital difailkan Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah dalam kes saman fitnah mengaitkan menteri berkenaan yang telah diselesaikan secara baik pada 29 Julai lepas.

Saman itu adalah berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan menteri berkenaan dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Peguam K.Murali mewakili Kok berkata permohonan itu difailkan pada 8 Okt lepas berikutan Azwanddin selaku defendan tidak melaksanakan terma penghakiman persetujuan kes tersebut iaitu perlu mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily serta membayar kos.

“Pihak kami memfailkan prosiding permohonan komital kerana defendan (Azwanddin) tidak melaksanakan syarat-syarat tersebut dalam tempoh 45 hari bermula dari 29 Julai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail hari ini.

Pada 29 Julai lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik selepas defendan bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily, membayar kos serta menarik balik ucapan yang telah diterbitkan semula olehnya di media sosial.

Kok selaku plaintif memfailkan saman itu pada 8 Jan lepas dengan mendakwa Azwanddin sebagai presiden JMM telah menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan-perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Dis 2018.

Menteri itu mendakwa bahawa ucapan itu diterbitkan dengan tujuan menghasut orang awam dan memburuk-burukkan plaintif dan disampaikan secara tidak bertanggungjawab kepada orang ramai dan secara khusus dibuat bagi mendapat sensasi murahan untuk mencetuskan kekacauan dan kemungkinan membawa bahaya secara fizikal dan kemudaratan lain kepada plaintif.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta injunksi untuk menghalang defendan sama ada melalui ejen dan/atau mana-mana orang lain daripada terus menuturkan, menulis atau menerbitkan ucapan yang sama dan kos.

— BERNAMA