Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh bercakap kepada media selepas menyempurnakan Keynote Addres Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas sempena Hari Kanak-kanak, OKU dan Warga Emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 NOVEMBER 2018.
Hannah Yeoh. foto IQBAL BASRI.

IPOH – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneliti cadangan supaya kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) terpakai boleh digunakan semula bagi mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan terutama yang mempunyai ramai anak kecil.

Timbalan menterinya, Hannah Yeoh berkata, bagaimanapun pihaknya sedang memperincikan maklumat mengenai cadangan berkenaan dan ia akan diumumkan apabila dimuktamadkan.

“Ini kerana ada ramai ibu bapa yang sudah membeli (CRS) tetapi tidak menggunakannya lagi apabila anak mereka sudah besar.

“Polisi (penggunaan CRS) bukan untuk menyusahkan ibu bapa tetapi untuk melindungi anak-anak mereka (dalam kenderaan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Yeoh berharap golongan ibu bapa tidak menjadikan peraturan penggunaan CRS sebagai satu perkara yang sukar untuk dilaksanakan.

“Kita perlu mementingkan keselamatan berbanding kesukaran untuk membelinya kerana kalau kita tidak ‘laksanakan’ polisi ini, anak-anak mereka akan menjadi mangsa kerana setiap tahun mangsa kemalangan jalan raya adalah kanak-kanak,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan memperincikan polisi penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan mengambil kira rungutan ibu bapa yang menghadapi kekangan mematuhi peraturan itu.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, keselamatan kanak-kanak di jalan raya menjadi keutamaan kerajaan namun ia memahami keluhan ibu bapa.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata, ketika ini terdapat 11 Anjung Kasih YKN beroperasi di hospital kerajaan seluruh negara sejak ia dilaksanakan pada 2006.

Katanya, antara hospital yang mempunyai Anjung Kasih adalah Hospital Selayang, Selangor; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang; Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan; Hospital Sibu, Sarawak serta Hospital Pulau Pinang.

Menurut Yeoh, sebuah lagi Anjung Kasih YKN telah siap dibina dan sedia untuk diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, manakala empat lagi sedang dalam pembinaan iaitu Hospital Sandakan, Sabah; Institut Kanser Negara, Hospital Putrajaya dan Hospital Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.