KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dibidas kerana didakwa gagal menjaga kebajikan masyarakat India sekarang berbeza dengan janji ketika berkempen pada PRU-14 lalu.
Menurut Ketua Hindraf 2.0, P. Uthayakumar, slogan rule of law yang sering dilaungkan oleh Mahathir sebelum ini tampak sangat menyakinkan pengundi pada masa lalu namun kini ia ‘cakap lain, buat lain’.
Beliau yang kecewa terutamanya dalam isu kewarganegaraan membabitkan golongan itu berkata, hakikatnya dengan kuasa Perdana Menteri, Mahathir hanya memerlukan satu tandatangan sahaja jika mahu menyelesaikan perkara tersebut.
“Katanya dalam janji-janji sebelum PRU-14, ketika kempen pilihan raya, setiap pentas dan perjumpaan pastinya mereka menjanjikan ‘100 hari selesai masalah’ seandainya menang besar. Sekarang siapakah kerajaan?
“Pengundi-pengundi telah memberikan mandat dan kuasa kepada kerajaan di bawah Mahathir. Saya berikan anda contoh, dalam penggal pertama Parlimen, kesemua sekolah sebanyak 526 sekolah Tamil dikatakan akan dijadikan sebagai sekolah bantuan penuh.
“Tidak lupa juga beberapa perkara lain khas untuk masyarakat India dalam manifesto yang dirangka khas oleh PH (Pakatan Harapan) sebelum PRU-14.
“Tetapi yang peliknya, jika ikut rule of law atau undang-undang, anda akan ikut setiap yang diperkatakan tetapi selepas pilihan raya, kamu tidak ikut cakap kamu sendiri. Senang cakap, ‘cakap tidak serupa bikin’,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 penyokong pada Perhimpunan Ulang Tahun Hindraf yang ke-12 di Little India, Brickfields petang tadi.
Kata Uthaya, seharusnya setiap janji yang telah ditabur oleh PH seharusnya dilaksanakan seperti yang termaktub dalam 25 janji khas untuk masyarakat India di negara ini.
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sahaja. Sebenarnya banyak permasalahan yang sudah menghantui masyarakat India selama bertahun ini boleh diselesaikan oleh Tun Mahathir jika mahu.
“Tetapi adakah mereka memilih untuk berdiam diri dan mengambil masa mereka sendiri untuk selesaikan ianya seperti zaman UMNO dulu? Entahlah, saya tidak pasti,” ujarnya.
Dalam pada sama, kata pemimpin Hindraf 2.0 itu melahirkan rasa sesal kerana kira-kira hanya 100 orang daripada keseluruhan masyarakat India di negara ini tampil menyertai perhimpunan tersebut hari jika hendak di bandingkan era kegemilangan mereka sebelum ini.
Pada tahun 2007, sekurang-kurangnya lebih daripada 100,000 komuniti India menyertai perhimpunan yang akhirnya berjaya menempa sejarah serta perubahan drastik pada PRU 2008 di mana pembangkang berjaya membentuk kerajaan di beberapa buah negeri.
“Pada hari ini, hanya 100 atau kurang daripada angka itu yang hadir pada perhimpunan kita. Hanya 0.1 peratus daripada jumlah pada 2007. Apakah maknanya? Kerajaan telah berjaya memecah belahkan kita. Menakut-nakutkan kita dengan pelbagai cerita serta tuduhan.
“Tidak cukup dengan itu, terdapat pula sekatan polis sana-sini bagi menghalang individu serta kumpulan untuk hadir ke perhimpunan hari ini.
“Tidak apa, ini tidak berhenti setakat di sini sahaja, kita akan terus tuntut hak kita supaya kerajaan kini memenuhi semua janji yang ada dalam manifesto,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Baru tahu ke Uthayakumar atau kau nak melompat pada BN pulak. Biasa lah kan.