Penduduk melihat serpihan pesawat penumpang yang terjatuh di kawasan kediaman di Congo. foto Agensi

KINSHASA – Sekurang-kurangnya 27 orang maut selepas sebuah pesawat penumpang terjunam dalam sebuah kediaman di bandar Goma, di Congo.

Mangsa-mangsa yang maut terdiri daripada sembilan orang dalam sebuah keluarga apabila kediaman mereka dirempuh pesawat berkenaan.

Pesawat kecil turboprop, Dornier 228 yang dimiliki oleh syarikat persendirian, Busy Bee itu terjatuh sebaik sahaja berlepas kira-kira satu minit dari bandar itu pada pagi Ahad dan punca nahas belum diketahui.

Semasa kejadian pesawat berkenaan membawa 17 orang penumpang dan dua anak kapal.

Ia dalam penerbangan ke Beni yang terletak 350 kilometer di utara Goma.

Seorang saksi, Djemo Medar berkata, dia ternampak pesawat itu berpusing sebanyak tiga kali di udara dan mengeluarkan asap.

“Apabila pesawat terhempas, kami bergegas ke tempat kejadian. Kami tahu nama juruterbangnya, Didier. Dia menjerit ‘bantu saya, tolong saya’, tetapi kami tidak ada cara untuk mendapatkannya kerana api sangat kuat,” kata saksi itu ketika memberitahu kepada Reuters.

Beberapa saksi mendakwa, pesawat itu mengalami masalah enjin sebaik sahaja berlepas.

Setakat ini tidak diketahui berapa jumlah penduduk dan kediaman yang terjejas akibat nahas tersebut. – MalaysiaGazette