Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – United Kingdom bersetuju untuk mengambil balik 42 kontena yang mengandungi sisa sampah plastik dari Malaysia yang dibawa masuk secara haram seperti ditetapkan Konvensyen Basel.

Pihak berkuasa dan ejen kedua-dua negara sedang bekerjasama untuk melaksanakan proses penghantaran semula sisa sampah plastik itu ke Britain, kata kenyataan bersama Suruhanjaya Tinggi British dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) hari ini.

Kesemua kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Pulau Pinang antara Mac 2018 hingga Mac lalu disyaki dibawa masuk secara haram kerana siasatan mendapati pihak terbabit gagal menyertakan dokumen sokongan urusan pengimportan sisa sampah.

Pengumuman itu dilakukan berikutan lawatan Agensi Alam Sekitar UK (EA) yang diuruskan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia sebagai reaksi kepada laporan berita mengenai import sampah pastik yang menyalahi undang undang dari UK.

Agensi itu telah mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan bersama MESTECC, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pelabuhan di negara ini.

Hasil perjumpaan itu membawa kepada persetujuan rangka kerja peraturan dan dasar berkaitan perdagangan sisa sampah plastik selain pertukaran pengetahuan dalam perkongsian kepakaran, prosedur pemeriksaan, identifikasi dan penghantaran sisa sampah itu.

Dalam kenyataan bersama, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, tindakan proaktif Suruhanjaya Tinggi British yang bekerjasama dengan kementeriannya untuk urusan penghantaran pulang sisa plastik dalam 42 kontena berkenaan dari Pelabuhan Pulau Pinang harus dihargai.

“Kerjasama ini menunjukkan pengiktirafan bahawa pencemaran sisa plastik merupakan satu isu global yang memerlukan kerjasama dari semua negara untuk menangani masalah tersebut.

“Kami berharap kerjasama dan persefahaman yang terjalin antara Malaysia dan UK akan dicontohi negara lain yang melibatkan syarikat mengeksport sisa plastik tercemar ke negara membangun yang lain,” kata dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay berkata, kerajaan UK sependapat dengan Malaysia dalam soal sisa pastik.

“Penghantaran semula 42 kontena yang mengandungi sisa plastik tercemar mencerminkan kerjasama kerajaan kami dalam memerangi urus dagang sisa plastik yang menyalahi undang-undang.

“Kami juga ingin bekerjasama dengan Malaysia dalam isu agenda konservasi alam sekitar dan menangani perubahan iklim khususnya dengan UK yang menjadi penganjur bersama Persidangan Rangka Kerja Konvensyen tentang Perubahan Iklim (COP26) ke 26 tahun depan,” kata Hay.

Menurut kenyataan itu, kedua dua negara sudah menjalin kerjasama dalam beberapa usaha menangani isu pencemaran plastik termasuk penganjuran bersama Tayangan dokumentari BBC Studios bertajuk ‘Blue Planet II’ dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kesan penggunaan plastik.

Justeru, kerajaan UK juga telah menawarkan pakar untuk menyokong segala inisiatif MESTECC dalam menangani isu sisa plastik di negara ini selain menganjurkan bengkel dengan kerjasama bagi mempromosikan penyelidikan dan inovasi mitigasi pengunaan plastik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast