PUTRAJAYA – Seorang nenek warga Australia, Maria Elvira Pinto Exposto, yang dijatuhi hukuman mati tahun lepas bagi kesalahan mengedar dadah hari ini terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan Exposto, 55, telah membuktikan dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai dadah itu.

Beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Exposto bersalah mengedar dadah methamphetamine seberat 1.1kg dan hukuman mati itu.

Hakim lain yang menganggotai panel itu adalah Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Ibu kepada empat anak itu yang memakai blaus bunga warna ungu, kelihatan tenang dan tersenyum apabila mahkamah memutuskan keputusan tersebut. – Bernama