KUALA LUMPUR – Datuk Seri Salahuddin Ayub mempertahankan tindakannya menulis surat bagi mendapatkan kelulusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memberikan tender secara terus kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, rayuan yang dibuat kepada Perdana Menteri bertujuan membela nasib petani dan peladang yang berjumlah 920,000 orang.
“Proses tender yang didakwa terbuka masih belum dimuktamadkan.
“Malah tidak ada satu syarikat pun yang boleh menunjukkan bukti telah menerima atau memenangi tender terbuka itu,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pagi ini.
Beliau menjawab demikian kepada soalan tambahan Ahli Parlimen Ledang (PH), Syed Ibrahim Syed Noh yang meminta Salahuddin menjelaskan jaminan kerajaan untuk memastikan ketelusan dan tata kelola baik dalam Nafas tanpa wujud penyelewengan dan salah guna kuasa pada masa akan datang.
Salahuddin berkata, adalah menjadi komitmen beliau untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan peladang di bawah Nafas dan terus membangunkan pertubuhan itu selari dengan peraturan dan prosedur yang terdapat sistem yang mendukung ketelusan.
“Ini sudah jadi tradisi sejak zaman Tun Razak supaya Nafas diberi pembelaan, di situ letaknya perjuangan para petani kita yang masih miskin dan perlukan pembelaan.
“Nafas bukan persatuan biasa dan bukan di bawah Akta Peladang, tapi ia dikawal selia kerajaan dan ia bukan satu syarikat, jika menang tender pun hanyalah peribadi.
“Tetapi Nafas apabila dapat projek kerajaan maka ada keuntungan dan boleh beri dividen kepada petani, sekali gus menjaga kebajikan mereka.
“Dan sebagainya menteri setiap tahun saya buat rayuan kepada PM supaya meneruskan pembiayaan kepada Nafas demi nasib peladang,” ujarnya. – MalaysiaGazette