Pesawat Lockheed, EP-3E

SEOUL – Tiga buah pesawat peninjau Amerika Syarikat (AS) melakukan penerbangan di Semenanjubg Korea dua hari berturut-turut pada minggu ini, sebagai isyarat peningkatan pengawasan berikutan tindakan Korea Utara melakukan ujian tembakan artilerinya.

Sebuah pesawat dipercayai Lockheed, EP-3E, milik Tentera Laut AS dilihat terbang di ruang udara Semenanjung Korea pada ketinggian 7,010 meter, menurut penjejak pesawat, Aircraft Spots menerusi akaun Twitter.

Terdahulu, penjejak pesawat itu berkata, ia mengesan dua pesawat pengintip AS, RC-135V dan E-8c, masing-masing terbang di wilayah itu semalam dan awal hari ini, lapor agensi berita Yonhap.

Pesawat RC-135V terbang pada ketinggian 9,753 meter manakala pesawat E-8C terbang opada ketinggian 9,448 meter.

Penerbangan tersebut dilakukan selepas Korea Utara melakuan ujian tembakan membabitkan meriam di sempadan pulau Changrin di Laut Kuning atas arahan pemimpinnya, Kim Jong-un.

Seoul melakukan bantahan menerusi saluran komunikasi antara Korea, dengan menyifatkan ujian tersebut melanggar perjanjian ketenteraan antara dua negara yang ditandatangani pada tahun lalu.

Korea Utara telah melakukan 12 ujian persenjataan utama pada tahun ini, termasuk ujian peluru berpandu balistik jarak dekat jenis baharu dan pelaru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam. – Agensi