KILAUAN EMAS... Pemain Malaysia meraikan kemenangan mereka dalam acara bola jaring wanita akhir Malaysia menentang Singapura di Stadium Santa Rosa Sports Multi- Purpose Complex semalam.

MANILA – Kejayaan mempertahankan pingat emas acara bola jaring yang dimenangi dua tahun lalu, begitu bermakna buat pemain negara, Noramirah Dayana Noor Azhar.

Noramirah yang beraksi di posisi Goal Keeper (GK) berkata, ini kerana pingat emas yang dirangkul pada Sukan SEA ke-30 itu, mempunyai keistimewaan tersendiri berikutan ia diraih hanya tiga hari selepas menyambut hari lahir ke-25, yang jatuh pada 29 Nov lalu.

“Perlawanan hari ini (Isnin) pada mulanya agak tegang, namun kami sentiasa percaya kepada rakan sepasukan. Kami tahu kelebihan setiap pemain yang ada, untuk mempertahankan pingat emas ini.

“Kejayaan yang saya raih hari ini (Isnin) adalah hadiah hari lahir yang paling terbaik pernah saya terima, untuk diri saya,” katanya.

Skuad bola jaring negara unggul mempertahankan pingat emas, apabila berjaya menundukkan musuh tradisi, Singapura 48-42 dalam aksi final di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, di sini.

Manakala Thailand dan Brunei yang tewas pada separuh akhir Ahad, terpaksa berpuas hati berkongsi pingat gangsa.

Sementara itu, jurulatih negara, Tracey Robinson jelas amat gembira dengan pencapaian anak didiknya, yang berjaya mempertahankan pingat emas di temasya paling berprestij Asia Tenggara itu.

Katanya, kejayaan itu tidak akan dikecapi tanpa bantuan daripada pelbagai pihak, yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada pemain negara.

“Peringkat suku pertama memang sentiasa tegang kerana rasa gemuruh, tetapi selepas separuh masa, saya tahu kami akan lakukannya, anda tahu untuk keluar dari kesukaran dan mereka lakukannya dan tahniah untuk mereka. Mereka telah bekerja keras untuk berada di tempat sekarang kerana semua pesaing telah meningkat berbanding Sukan SEA yang lepas.

“Tahniah kepada MSN dan ISN dan kesemua staff sokongan kami. Mereka telah lakukan tugas yang menakjubkan kepada pemain,” katanya.- BERNAMA