KUALA LUMPUR – “Ini bukan pasal abu Cina, Melayu atau India atau perkauman. Ini soal patriotisme negara,” kata aktivis sosial, Kuan Chee Heng yang terkenal dengan gelaran Uncle Kentang.
Beliau menegaskan pendiriannya bahawa abu pengasas Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak sepatutnya dibawa masuk kerana ramai yang telah menjadi korban baik anggota keselamatan mahu pun rakyat biasa.
“Kalau kamu musuh negara, kamu pilih jalan kamu dan jangan sekali kau menapak kembali ke tanah ini,” katanya.
Chee Heng berkata, tindakan membawa masuk abu Chin Peng itu merupakan penghinaan kepada mereka yang terkorban dan tercedera serta balu yang kehilangan suami semasa perjuangan menentang komunis.
“Jangan kurang ajar dengan tanah air kita, saya menyatakan pendirian saya,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
BACA:Â Abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia, ditabur di Lumut
Dalam hantaran berikutnya, Uncle Kentang turut menekankan bahawa kekejaman komunis adalah catatan sejarah yang tidak akan dilupakan.
Beliau mengimbau peristiwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman ditembak mati pada 7 Jun 1974 dan nasib yang sama dialami Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong dalam tragedi pada 13 November 1975.
Katanya, tidak timbul soal takut kepada abu Chin Peng tetapi isu yang timbul adalah mendiang merupakan pengkhianat terbesar negara dalam sejarah malah ideologinya telah menyebabkan negara huru-hara.
“Mengapa rakyat marah? Mesti ada sejarah dan sebab. Kita anak Malaysia protes sekeras-kerasnya. Walaupun nasi sudah jadi bubur kami kena rakamkan protes kami.
“Walau sekali pun abu sudah ditabur, kami tetap rakamkan protes kami dan jangan kurang ajar mengotorkan bumi Malaysia,” katanya yang aktif menjalankan aktiviti membantu golongan memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama. – MalaysiaGazette
Tindakan membawa abu mayat Chin Peng balik menjadi kemarahan kepada rakyat kerana mendiang adalah pengkhianat negara terbesar dimana komunis telah menghuru-harakan negara kita.Ini kerana ramai yang terkorban dan tercedera serta balu yang kehilangan suami semasa perjuangan menentang komunis.
Uncle kentang..inilah rakyat yg menjiwai malaysia yg sbnr2nya.. Tahniah..
Aku mmg respect uncle kentang… A true Malaysian…