Sebahagian peserta yang hadir dengan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) pada perhimpunan 'Kesyukuran' meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang terganggu pagi tadi disebabkan satu jentera penyelenggaraan atau ‘flat car’ tergelincir telah kembali pulih jam 2 petang tadi.

Rapid KL berkata, kejadian itu berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan ke atas jentera tersebut.

“Kerja-kerja mengeluarkan jentera berkenaan dijalankan serta-merta tetapi tidak dapat diselesaikan sebelum pukul 6 pagi untuk membolehkan perkhidmatan LRT berjalan seperti biasa.

“Insiden turut merosakkan kabel isyarat (signaling cable) dan peralatan bekalan kuasa di landasan (power rail),” demikian menurut Rapid KL.

Disebabkan itu, Rapid KL melaksanakan mod perkhidmatan terhad dengan pergerakan satu hala dari Gombak ke Pasar Seni bagi memastikan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya tetap beroperasi.

“Perkhidmatan LRT daripada KLCC ke Gombak diberhentikan sementara untuk membolehkan kerja-kerja mengeluarkan jentera tergelincir dan pembaikan trek diteruskan.

“Perkhidmatan antara Putra Heights dan KLCC berjalan seperti biasa,” kata kenyataan itu lagi.

Menerusi kenyataan itu, Rapid KL memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya ini.- MalaysiaGazette

 

Jentera penyelenggaraan tergelincir punca LRT sesak