Paul Yong Choo Kiong.

IPOH – Dua peti keselamatan dilaporkan hilang dalam kejadian pecah rumah membabitkan kediaman Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Perak, Paul Yong Choo Kiong.

Yong berkata beliau menyedari rumahnya di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya di sini yang didiami sejak enam tahun lalu dipecah masuk pada hari Ahad lepas.

“Saya meninggalkan kediaman untuk ke Kuala Lumpur pada 22 Nov lalu dan apabila balik pada 1 Dis lepas kira-kira pukul 12.30 tengah hari bersama dua anak, kami dapati rumah telah dipecah masuk.

“Pintu belakang rumah dibuka, dua jeriji besi tingkap dipotong, empat bilik di tingkat dua digeledah dan dua peti keselamatan berisi dokumen penting serta barangan berharga telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Yong rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal menjukkan ada seorang lelaki berumur lingkungan 20-an yang tidak dikenali datang ke rumahnya selepas beliau meninggalkan kediaman itu .

Ketua Polis Perak Datuk Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.- BERNAMA