KUALA LUMPUR – Demi meraih lagi sokongan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta mahu menjimatkan kos operasi, UKM FC sudah merancang untuk beraksi di Stadium UKM pada saingan Liga Perdana 2020.
Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd. Fairus Shafie berkata, pelan menaik taraf Stadium UKM akan bermula pada pertengahan bulan ini dan hanya akan mengambil masa hingga sebulan setengah untuk disiapkan.
Selepas siap sepenuhnya, Stadium UKM mampu menempatkan kapasiti maksimum 3,000 penonton untuk setiap perlawanan yang berlangsung di sana.
“Memasuki tahun ketiga iaitu pada masa akan datang, kita rasa kena perlu ada sokongan warga UKM sendiri dan apabila kita pindah venue di sini, harap warga UKM dapat merasai kehangatan pasukan UKM FC itu sendiri.
“Saya penuh keyakinan jika kami beraksi di sini, tiada masalah 18,000 warga UKM boleh beri sokongan dengan harapan sekurang-kurangnya 1,000 penonton akan hadir pada tiap perlawanan sekali gus beri semangat kepada pemain kita tiap kali turun beraksi.
“Selain itu, kami dapat menjimatkan kos pengurusan terutama penyewaan stadium di luar malah kami sendiri mempunyai pasukan keselamatan dan kesihatan yang terletak di Bangi, “ katanya.
UKM FC yang menduduki tempat kelapan pada saingan Liga Perdana 2019 telah dua musim beraksi di dua venue berbeza iaitu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 2018 manakala musim lalu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Menurut Fairus, buat masa ini mereka hanya merancang bermain pada waktu petang bagi musim depan dan bersedia beraksi pada waktu malam bermula 2021 selepas menaik taraf lampu limpah jika mendapat penajaan mencukupi.
“Pada tahun keempat penyertaan (2021), kami begitu yakin boleh bermain pada waktu malam kerana kita sedang cuba dapatkan penajaan daripada sebuah bank komersial dan buat masa ini semuanya berjalan lancar.
“Jika berjaya, kami jamin pada 2021, kita akan menaik taraf stadium ini ke arah lebih baik seperti penambahan lampu, papan layar elektronik dan kerusi tempat duduk penonton yang lebih baik, ” katanya.
Mengenai aspek minimum yang perlu dinaik taraf, Fairus menegaskan cabaran utama ialah kemudahan bilik persalinan, menambah kerusi penonton dan memasang pagar keliling stadium bagi mendapatkan kelulusan daripada Malaysian Football League.
“ Pertama sekali adalah kekurangan bilik persalinan dan kami akan cuba siapkan dengan semua kemudahan termasuk penghawa dingin serta kemudahan-kemudahan lain yang sesuai.
“ Kemudian, kami akan cuba memasang pagar keliling stadium dan mana-mana penonton yang mahu saksikan perlawanan, mereka perlu membayar tiket dan tidak sama seperti sebelum ini.
“ Aspek padang kami tidak berdepan sebarang masalah kerana padang di sini selalu dijaga malah banyak pasukan Liga Super juga mengadakan perlawanan persahabatan di sini kerana kualiti padangnya yang baik, “ katanya. – MalaysiaGazette
Tamat