KUALA LUMPUR – Belum lagi reda kes paparan Jalur Gemilang dua minggu lepas, kini viral pula isu lagu Negaraku dinyanyikan dalam versi Mandarin sekaligus mengundang rasa tidak senang rakyat di negara ini.

Umum mengetahui lagu kebangsaan tidak boleh digubah mengikut ‘citarasa’ atau ikut suka kerana ianya termaktub dalam Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang boleh didakwa serta dijatuhkan hukuman.

Sejak awal pagi tadi, kecoh seketika dengan sebuah video berdurasi 1:22 memaparkan murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku secara beramai-ramai di dalam sebuah kelas menggunakan bahasa Mandarin.

Rata-rata murid dalam video itu berbangsa Cina dan mungkin seorang Melayu kerana dipercayai memakai tudung namun lokasi serta bilakah insiden itu berlaku belum dapat dipastikan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan sebentar tadi memberitahu pihaknya sedang giat menjalankan siasatan berhubung penularan video tersebut ketika ini.

“KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar peraturan melibatkan Perlembagaan Negara Malaysia sama ada sengaja atau sebaliknya,” kata kenyataan itu.

Mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968, ianya diwujudkan bagi menjaga kredibliti, prestij, kewbawaan dan maruah lagu Negaraku.

Melalui pengamatan MalaysiaGazette sebentar tadi, rata-rata netizen tidak kira latarbelakang dan kaum melahirkan rasa tidak puas hati dengan perbuatan tersebut dan mohon tindakan tegas segera di ambil.

Seorang netizen cuba tampil menjelaskan, lagi Negaraku dinyanyikan dalam versi Mandarin bagi membolehkan murid-murid memahami maksud lagu tersebut.

Bagaimanapun ada yang mempertikaikan bagaimana murid tidak faham bait-bait lagu kebangsaan sehingga terpaksa diterjemah ke bahasa Mandarin. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast