Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham (tengah) bersama perwakilan menunjukkan bukti gambar perwakilan dikasari pihak keselamatan pada sidang media berkenaan pergaduhan yang berlaku pada persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Resort d'Village, Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2019

tAYER KEROH – Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham musykil bagaimana sekumpulan pemuda berbaju hitam yang tidak berdaftar sebagai perwakilan dan pemerhati  boleh berada di dalam dewan berlangsung kongres sayap parti itu.

Lebih pelik lagi ada dalam kalangan mereka yang dipercayai di bawah umur.

Beliau berkata, kehadiran kumpulan berkenaan telah menyebabkan para perwakilan dan pemerhati yang sah tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan sehingga berlakunya kekecohan di pintu masuk yang dijaga oleh skuad keselamatan.

Lebih megecewakan, katanya, ada pewakilan yang dihalang masuk atas alasan tidak memakai baju Melayu iaitu satu alasan remeh sedangkan hari pertama kongres bermula dengan baik.

“Ini mengecewakan kerana kongres ini menunjukkan kita muafakat dan bersatu padu apatah lagi selepas pertemuan Timbalan Presiden, dan Presiden,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurut Hilman, hasil penyelidikan pihaknya mendapati para perwakilan berbaju hitam itu sendiri tidak tahu apa tujuan mereka hadir di MITC sebaliknya hanya dimaklumkan ada reformasi berlangsung di situ sempena Kongres Nasional PKR.

Sehubungan dengan itu, Hilman dan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK  memutuskan untuk tidak menghadiri sesi petang kongres atas faktor keselamatan.

“Pimpinan AMK sebulat suara setuju tidaak hadir dan tidak teruskan sesi kongres atas faktor keselamatan,” katanya dalam sidang medianya, hari ini yang turut dihadiri 20 Ahli MPP AMK.

Berikutan itu Hilman berkata pihaknya akan membuat satu laporan polis dan mendesak  agar kongres yang diadakan sehingga Ahad ini dibatalkan.

“Kepimpinan AMK akan buat laporan polis dan laporan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk gesa dan tuntut kongres AMK 2019 dibatalkan dan diadakan semula,” katanya.

Hilman yang sering disebut-sebut berada dalam kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut meminta pihak sekretariat kongres agar mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang berlaku tengahari tadi.

BACA: Mizan dibawa keluar dewan selepas gagal duduk di kerusi pengerusi tetap AMK

“Kami mahu seketariat yg diterajui Setiausaha AMK mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan Skuad Keselamatan AMK bukan sahaja halang perwakilan sah malah ada pimpinan exco AMK, ahli MPP AMK dan sekretariat ibu pejabat PKR dihalang dan dikasari daripada memasuki dewan kongres.

“Video yang tular menunjukkan skuad ini mengasari mereka,” katanya lagi.

Ditanya sama ada tindakan ‘memulau’ kongres hari ini akan berlarutan sehingga hari esok dan Ahad, Hilman berkata pihaknya mahu jaminan kesempatan diberikan kepada mereka bagi menghadiri kemuncak kongres esok.

“Harap ada jaminan daripada ibu pejabat untuk seluruh pimpinan, perwakilan dan pemerhati AMK dari seluruh negara untuk hadir ke kongres.

“Esok akan hadir kalau ada jaminan piminan. Itu pendirian diambil kita semua hasil rundingan dan perbincangan antara presiden dan timbalan presiden,” katanya lagi.

BACA:[VIDEO] Kongres AMK tegang, ada perwakilan tidak dibenar masuk

Sesi petang untuk kongres hari ini akan dimulakan dengan Majlis Penutup Kongres Bersama antara Wanita dan AMK yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast