Datuk Dr Hatta Ramli
Mohd Hatta Md Ramli

SHAH ALAM – Malaysia merupakan antara negara yang terkedepan dengan pembangunan teknologi dron dan tidak akan ketinggalan untuk meraih pasarannya yang dijangka mencecah AS$127 bilion menjelang 2025.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli, penggunaan dron di negara ini bukan sesuatu asing bahkan kini industri itu dilihat berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.

Bagaimanapun beliau berasa kesal kerana idea ini dihina dan diperlekeh lebih-lebih lagi apabila kerajaan menunjukkan berminat dengan ‘air mobility’ atau super dron yang dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan.

“Projek kereta terbang paling tak guna, kalau saya menterinya, terasa juga, sebenarnya ada masalah komunikasi sedikit, kalau tak boleh jawab, saya yang terbang.

“Malaysia negara kedepan dengan industri dron, super dron, dekat luar banyak dron berterbangan, ini risau langgar kabel, langgar bangunan, seolah-olah teknologi ini kita tak dapat kita kawal.

“Jadi siapa nak beli ini? Kita lah, ada syarikat-syarikat tempatan kita buat, bila ditanya apa pelan seterusnya? Dia kata air mobility, super dron, boleh bawa kargo dan orang,

“Maka menteri pun kata, ini yang Bumiputera nak buat, tapi diperlekeh, dihina buta-buta sampai paling tak guna projek ini, sedangkan itu untuk usahawan,” katanya pada sesi penggulungan Pidato Presiden pada Konvenseyn Nasional Amanah 2019 di sini, hari ini.

Semalam, perwakilan Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengkritik idea kereta terbang dengan menyifatkannya sebagai projek kerajaan paling tidak berguna kepada rakyat.

Menurut Mohd Fadzli, idea tersebut cukup memalukan penyokong dan ahli PH untuk dipertahankan apabila menjadi bahan sindirian dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Hatta yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan mengingatkan semua pihak agar tidak percaya mana-mana berita yang memburukkan usaha kerajaan khususnya di media sosial.

“Jangan kita termakan dalam media sosial menghina, kita terpedaya media sosial ini, dia memang nak jatuhkan kerajaan kita, kita pula beri sokongan, kita mengiyakan, tolong sebarkan pula…hancur kita tuan-tuan.

“Semua berita buruk, negatif tentang PH, ia adalah berita tidak benar dan fitnah.Tolak dulu, jangan terima, kalau kita terima, maaf kita bunuh diri sendiri,” katanya.

Katanya lagi, tiada makna PH sebagai kerajaan sekiranya projek kereta terbang berdepan dengan halangan termasuk ketiadaan polisi dan undang-undang untuk pembangunannya.

“Ada halangan? Kita sebagai kerajaan sudah menghadapinya, peraturan, ketinggian mana boleh terbang, macam dan siapa.

“Ini adalah tanggungjawab kerajaan, biarlah kalau itu agensi tak nak buat, tak nak kaji, tak bermakna kita sebuah kerajaan, peluang itu tidak baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast