Pengunjung di Pantai Balok menunjukkan kepah yang berjaya dicari ketika tinjauan MalaysiaGazette pagi ini

KUANTAN – Masih ramai pengunjung tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti beriadah sambil mencari kepah di Pantai Balok meskipun pada pagi hari bekerja hari ini.

Lebih menarik terdapat keluarga yang berkunjung ke pantai itu dari Klang, Selangor dan menyewa di inap desa berdekatan untuk merasai sendiri pengalaman mencari kepah beramai-ramai.

Menurut Juliana Abdullah, 36, dia tertarik dengan video  tular di aplikasi Tiktok mengenai aktiviti itu dan membuat keputusan untuk datang bersama tujuh lagi ahli keluarganya.

“Kami sampai pagi semalam dan terus datang ke sini mencari kepah. Dapat banyak juga dalam separuh baldi. Kami balik ke homestay dan masak buttermilk. Sedap dan manis isinya.

“Seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan baru. Ada daripada penduduk tempatan, ada daripada Pulau Pinang dan Thailand,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Juliana Abdullah

Juliana dan keluarganya datang mengulangi aktiviti mencari kepah pagi ini dan berjaya mendapat hampir 10 kilogram  untuk dibawa pulang ke Selangor.

Seorang lagi pengunjung, Fatimah Taib, 52, yang tinggal di Air Putih di sini memberitahu, kepah yang diperoleh di Pantai Balok isinya besar dan lebih manis berbanding kepah yang dibeli di pasar.

“Nampak sahaja kecil-kecil kepahnya tapi isinya manis dan penuh. Walaupun semalam saya sudah datang dengan suami, tapi hari ini ulang lagi. Semalam buat masak sup halia. Sedap.

“Semalam dapat kurang daripada hari ini sebab ramai sangat orang. Tapi memang seronok sebab dapat kita bertemu dengan ramai orang pelbagai bangsa,” katanya.

Fatimah Taib

Fatimah memberitahu, dia dan suaminya tiba di pantai berkenaan kira-kira pukul 6.30 pagi dan berjaya mendapat kira-kira lima kilogram kepah dalam tempoh tiga jam sahaja.

Difahamkan, ratusan pengunjung datang ke Pantai Balok bermula hari Sabtu lepas berikutan musim mencari kepah yang dikatakan menjadi fenomena menjelang bulan Mei setiap tahun.

Menurut Pengerusi JPKK Kampung Balok (Tok Empat), Mansor Mokhtar, tahun ini, kepah yang berada di muara sungai lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

Namun dalam keseronokan mencari kepah, beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih cakna dengan keselamatan diri masing-masing dan peka dengan keadaan sekeliling.

“Kawasan ni memang kawasan dikenali sebagai jeti nelayan dan Pasar Nelayan Balok di mana nelayan keluar masuk menggunakan bot fiber dan kadang-kadang mereka laju.

“Andai kata terjadi suatu hari nanti tak perasan ada orang sedang cari kepah di sini. Malang tak berbau dikhuatiri terjadi kemalangan.

“Sebenarnya, kawasan ini dua atau tiga tahun sekali pasti berlaku kejadian lemas ketika melakukan aktiviti mencari kepah. Ramai yang lemas, sampai dihanyutkan ke laut dua hingga tiga kilometer sana.

“Jadi, nasihat saya supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keselamatan,” kata Mansor.

Pengerusi JPKK Kampung Balok, Mansor Mokhtar

Beliau dalam masa sama menyambut baik kedatangan para pengunjung turut menasihati mereka agar memelihara kelestarian pantai itu dan menjaga kebersihan dengan tidak meninggalkan sampah merata-rata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast