Temubual bersama Pengusaha Nenas, Sapawi TAR. foto MALAYSIA GAZETTE, 10 DISEMBER 2019

NAMANYA Sapawi Bin Tar, berasal dari Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan, Sarawak. Sekali imbas, tidak ada apa yang istimewa pada lelaki berusia 44 tahun itu. Namun tunggu sehingga habis membaca tulisan saya ini.

Kisahnya begini.

Ketika saya di Kuching minggu lalu, seorang sahabat telah memperkenalkan saya dengan Sapawi.

Kata sahabat saya itu, sebagai seorang penulis, saya perlu bertemu dengan Sapawi kerana pasti ada sesuatu yang boleh dijadikan ‘bahan’ dalam tulisan saya kelak.

Saya hanya tersenyum tawar, kebetulan pula saya ketika itu baru betul-betul keluar daripada lapangan terbang, perut pun belum terisi lagi.

Dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda, kami menuju ke Samarahan, lebih tepat lagi Kampung Sungai Mata.

Disebabkan terlalu letih dan mengantuk, saya tertidur dalam kereta tersebut dan hanya tersedar bila sahabat saya menggerak-gerakkan bahu saya.

Sebaik sahaja membuka mata, di depan saya ada satu papan tanda yang bertulis LADANG NANAS SUNGAI MATA.

Ketika itu saya hanya nampak belukar di kiri dan kanan jalan. Tak sampai 10 minit kemudian, terbentang di depan saya ladang nanas yang saujana mata memandang.

Temubual bersama Pengusaha Nenas, Sapawi TAR. foto MALAYSIA GAZETTE, 10 DISEMBER 2019

Selain ladang nanas, ada sebuah kandang kambing yang dalam pembinaan, sebuah surau, kuarters pekerja dan deretan rumah papan yang sedang didirikan.

” Syahril, kau tahu tak ladang nanas yang besar ini diusahakan oleh seorang lelaki yang tak pernah sekolah pun sepanjang hidupnya, tetapi dia kini mempunyai puluhan kereta, menggaji puluhan pekerja dan kediaman yang mewah.

” Boleh sahaja kalau nak temubual, dia sangat baik, sentiasa merendah diri tetapi janganlah kau bantai cakap ‘omputih’ pulak,” kata sahabat saya tadi sambil tersenyum.

Wow!

Saya menjadi teruja.

Kenderaan yang dipandu oleh sahabat saya tadi kemudiannya berhenti betul-betul di kandang kambing yang sedang dalam pembinaan tadi.

“Itulah Sapawi, ” kata sahabat saya tadi sambil menunjukkan jarinya ke arah seorang lelaki bertubuh sederhana.

Sapawi ketika itu sedang bersama dengan beberapa orang pekerja di tapak pembinaan kandang berkenaan.

Temubual bersama Pengusaha Nenas, Sapawi TAR. foto MALAYSIA GAZETTE, 10 DISEMBER 2019

Sebaik saja melihat kami berdua, beliau terus datang dan bersalaman dengan kami semua.

Kemudian Sapawi mempelawa kami ke sebuah pondok dan duduk diberandanya.

Dihidangkan kami sebotol air 100 Plus buat menghilang dahaga.

“Maaf, hanya ini yang ada. Terima kasihlah kerana sudi datang ke ladang nanas saya,” kata Sapawi.

Serius, ketika itu saya masih sangsi adakah lelaki berkulit agak gelap ini adalah taukeh ladang nanas tersebut.

Seakan-akan dapat membaca airmuka saya, Sapawi kemudian membuka bicara.

“Saya tidak malu untuk mengaku saya berasal dari sebuah keluarga yang sangat miskin. Saya anak keempat dari sembilan adik beradik. Disebabkan kemiskinan itu, saya mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah…sempat dua minggu di Darjah Satu lepas tu berhenti.

“Nak tolong keluarga punya pasal, saya mula bekerja menoreh getah. Dalam usia seawal 12 tahun saya telah pergi ke bandar untuk melakukan kerja-kerja kontrak dengan upah dalam RM12 sehari…dengan duit yang dikumpul selama bertahun itu, saya pergi belajar memandu dan memperoleh lesen memandu termasuk lesen memandu lori.

“Alhamdulillah, akhirnya setelah bertahun berkerja di tapak pembinaan sebagai ‘kuli’ dan bawa lori, saya mula ambil kerja-kerja sub kontrak, lesen pembinaan pun tak ada lagi. Disebabkan ketandusan modal, saya masuk hutan pula ambil upah tarik kayu balak.

“Ketika itu saya dah mula memperoleh pendapatan hampir RM10,000 sebulan. Dengan wang sebanyak itu, saya mula terfikir nak buka syarikat pembinaan tetapi masalahnya saya tak tahu menulis, maklumlah tak sekolah,” kata Sapawi sambil tersenyum.

Akhirnya Sapawi mengambil keputusan untuk bersama seorang sahabatnya. Mereka buka sebuah syarikat pembinaan kelas F di mana beliau menumpukan pada kerja-kerja pembinaan dan sahabatnya itu pula menumpukan pada kerja-kerja pengurusan serta pemasaran.

Kira-kira dua tahun kemudian, Sapawi berjaya mengumpul kekuatan dan akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan perkongsian dan membuka syarikatnya sendiri.

Disebabkan terlalu banyak syarikat kontraktor berbanding projek yang ditawarkan, beliau mengambil keputusan beralih arah dan terjun ke bidang pertanian pula.

Temubual bersama Pengusaha Nenas, Sapawi TAR. foto MALAYSIA GAZETTE, 10 DISEMBER 2019

Nanas menjadi pilihan Sapawi setelah beliau mendapati buah tersebut mendapat permintaan yang tinggi sedangkan bekalannya sering tidak mencukupi terutama di Sarawak.

Walaupun bermula dengan hanya tiga ekar tanah, Sapawi kini tidak memandang ke belakang lagi.

” Sejak mula menceburi penanaman nanas pada tahun 2000 sehingga sekarang, ia telah mencapai keluasan 600 ekar, ada 1,400 ekar yang belum ditanam. Alhamdulillah kerajaan negeri juga membenarkan kami menumpang tanah mereka setelah melihat kesungguhan serta keseriusan kami dalam mengerjakan penanaman nanas ini.

” Kemudian saya terfikir, daun nanas ni apakata kalau dibuat dedak untuk dijadikan makanan kambing, dari situ saya dapat idea untuk mengusahakan pula penternakan kambing, dapat juga tambah pendapatan. Najisnya pula boleh ‘kembali’ semula ke nanas, dalam bentuk baja. Kita juga sedang membina rumah inap tamu bagi membolehkan pelancong menghabiskan percutian mereka sambil menikmati suasana di ladang ini.

Temubual bersama Pengusaha Nenas, Sapawi TAR. foto MALAYSIA GAZETTE, 10 DISEMBER 2019

” Dalam usaha untuk berkongsi rezeki, kita dah tubuh koperasi. Jadi anak-anak ahli kita yang menganggur ni boleh mendapatkan pekerjaan melalui koperasi tersebut. InshaAllah melalui koperasi ini juga, ahli-ahli kita boleh dapatkan dana atau modal untuk mengerjakan tanah yang terbiar. Pendek kata, kekayaan dan keuntungan hasil nanas ini semua dapat merasa, bukan kita seorang saja semata-mata,” kata Sapawi bersungguh-sungguh.

Soalan terakhir saya pada Sapawi, berapa pendapatannya ketika ini.

“Paling kurang RM50,000 sebulan,” katanya tanpa berselindung.

Ketika ini saya terdiam.

Jawapan ini mengimbau kembali perbualan kami di awal tadi, mengenai bagaimana keadaan diri dan keluarganya yang terlalu miskin sehingga dia tak dapat langsung menikmati keindahan bergelar seorang pelajar dan merasai kemanisan hidup di waktu remaja kerana terpaksa membanting tulang mencari rezeki.

Temubual bersama Pengusaha Nenas, Sapawi TAR. foto MALAYSIA GAZETTE, 10 DISEMBER 2019

Ternyata bukan ijazah penentu segala, tetapi kerajinan, usaha dan tawakal pada Allah senjata utama.

Saya meminta izin untuk pulang ke hotel setelah hampir sejam bersama Sapawi di ladangnya.

Kata sahabat tadi, Sapawi akan jemput saya untuk makan malam bersama keluarganya.

“Kita naik kereta siapa bro,” tanya saya.

“Sapawi akan datang dengan keretanya, Vellfire mungkin…sebab dia ada 20 buah kereta, yang mana satu Wallahualam,” kata sahabat saya.

Saya terdiam untuk kali kedua.

5 Komen

    • Ah Tok Madet tu suka cakap terbalik… La nih kita peasants tahu dan paham dah, siapa yg pemalas sebenaqnya… Hehe

Comments are closed.